Sukan Hari Ini

Aminuddin Hussin Pembantu Jurulatih SKuad Projek Sukan SEA 2017

KUALA LUMPUR: Aminuddin Hussin, bekas jurulatih Harimau Muda C, pada Jumaat diumumkan sebagai penolong jurulatih bagi Skuad Projek Sukan SEA 2017, manakala Megat Amir Faizal Ibrahim sebagai jurulatih penjaga gol.

Pengumuman itu dibuat setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Mengenai Bola Sepak Majlis Sukan Negara (MSN) dan FAM.

“Mesyuarat hari ini membuat keputusan memilih Aminuddin sebagai penolong jurulatih. Kami juga memilih Megat Amir sebagai jurulatih penjaga gol,” katanya.

Mesyuarat itu, yang dipengerusikan ketua pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail, juga membuat keputusan bahawa FAM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Institut Sukan Negara (ISN) mengenai penyediaan staf psikologi, fisioterapi, jurulatih kecergasan dan pegawai teknikal lain bagi skuad kebangsaan Bawah 22 Tahun itu.

“Kami (FAM) akan adakan mesyuarat dengan ISN dalam tempoh terdekat,” kata Hamidin.

Beliau berkata Frank Bernhardt, jurulatih bagi Skuad Projek Sukan SEA 2017, hari ini membentangkan program yang beliau rancang untuk tahun ini.

“Frank dan jurulatih lain akan menonton semua perlawanan Liga Perdana, Liga Super dan Piala Presiden mulai hari ini.

“Pada bulan puasa, skuad ini akan berada di Jepun untuk menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan. Pada November, mereka akan ke Vietnam selama kira-kira tiga minggu sebelum berlepas ke Australia pada Disember untuk menjalani latihan selama sebulan,” kata Hamidin.

Mengulas pelantikan Aminuddin sebagai penolong jurulatih, Bernhardt berkata Aminuddin berpengalaman luas dalam bola sepak di negara ini.

“Dia berpengalaman melatih pemain dalam kumpulan usia itu.
Berbanding calon lain, saya paling kagum terhadapnya,” kata warga Jerman itu yang dilantik sebagai jurulatih pasukan Bawah 22 Tahun pada 1 Januari lalu.

Calon lain ialah P. Maniam, Reduan Abdullah, Azlan Johar dan Hassan Sazali Waras.

Bernhardt berkata dia memerlukan empat individu – seorang jurulatih kecergasan, seorang jurulatih penjaga gol dan dua penolong jurulatih – untuk membantunya mengendalikan skuad itu dengan lebih berkesan. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");