Isu Panas

Derma atau pelaburan: Kecelaruan fakta kelirukan rakyat

SEREMBAN – Kecelaruan fakta antara Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir membabitkan status RM2.6 bilion diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya mengundang keresahan rakyat.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, percanggahan itu tidak membawa sebarang manfaat kecuali menjadikan orang ramai lebih keliru dan tertanya-tanya terhadap isu berkenaan.

“Peguam Negara kata wang itu pemberian salah seorang putera Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz al-Saud sebagai derma, manakala Menteri Luar Arab Saudi melihatnya sebagai pelaburan.

“Sebut tentang pelaburan, mesti ada pulangan diharapkan. Persoalannya, apa dijanjikan kepada si pemberi? Adakah kedaulatan negara kita yang menjadi galang ganti? Bertambah risau kita dibuatnya bila difikirkan,” katanya.

Menurutnya, sepatutnya Peguam Negara mengambil langkah bijak dan mudah iaitu mengisytiharkan segala transaksi membabitkan wang itu.

“Lebih senang jika beliau bentangkan segala transaksi keluar masuk wang itu pada kita semua, habis cerita.

“Sekadar cakap mulut tanpa bukti, inilah jadinya. Sampai bila-bila pun masyarakat akan terus mempersoalkannya. Kena ingat, rakyat sekarang sudah bijak pandai dalam hal ehwal perbankan,” katanya.

Sebelum ini, Adel melalui kenyataannya kepada New York Times berkata, beliau tidak fikir wang RM2.6 bilion itu dari kerajaan Arab Saudi atau satu sumbangan politik.

Sebaliknya, menurut beliau, wang milik warga Saudi itu dipercayai disalurkan kepada satu ‘pelaburan di Malaysia’.-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");