Berita Hari Ini

DLP bukan wajib

Putrajaya: “Program itu bukan satu arahan bentuk paksaan kepada sekolah. Ramai yang salah faham dan menyangka ia satu dasar mesti dibuat di semua sekolah,” kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung Program Dwibahasa (DLP) diperkenalkan Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, beliau sekali lagi menegaskan program berkenaan adalah terpulang kepada pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa sama ada mahu ia dilaksanakan di sekolah masing-masing atau sebaliknya.

“Saya ada menyatakan dalam sidang media sebelum ini iaitu DLP bukan polisi, tetapi hanya program saja.

“Jadi, apabila sekolah, ibu bapa terutama PIBG bersetuju untuk menerima program ini, ditambah dengan pencapaian Bahasa Malaysia berada pada tahap baik…ia terpulang kepada mereka untuk menerimanya,” katanya pada sidang media selepas melawat dan mendengar taklimat kira-kira tiga jam di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Presint 16 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan DLP memandangkan masih ada dalam kalangan pihak yang menyangka ia diwajibkan di semua sekolah.

Pada masa sama, Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan ada menyatakan kira-kira 300 sekolah terbabit sebagai permulaan pelaksanaan bagi DLP, namun ada sekolah yang menolak tawaran pelaksanaan DLP.

“Perbincangan akan dibuat dengan guru, PIBG dan ibu bapa terlebih dahulu untuk mendapatkan persetujuan sama ada mahu ia dilaksanakan atau sebaliknya.

“Namun, masih ada pihak yang tidak berpuas hati dan menyatakan kononnya semua sekolah mesti melaksanakan DLP satu hari nanti, siapa yang menggunakan perkataan ‘mesti’… tidak ada sesiapa yang menggunakan perkataan itu,” katanya.

Pelaksanaan DLP adalah program pengukuhan Bahasa Inggeris serta memberi peluang kepada sekolah menawarkan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi dalam dua bahasa sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Ia juga sejajar dengan usaha pengukuhan Bahasa Inggeris di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Mengenai isu berkaitan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee, Mersing, Johor, beliau berkata, tiga guru yang terbabit sudah dipindahkan serta digantikan dengan tiga guru lain.

“Perkara ini membabitkan guru besar dan guru, namun kita tidak bercakap soal perkauman. Dari segi pentadbiran, apabila menjadi penjawat awam adalah tertakluk Peraturan Penjawat Awam serta Perintah Am.

“Sesiapa yang didapati melanggarnya, boleh dibawa ke jawatankuasa tatatertib. Kita serahkan perkara ini kepada pihak bertanggungjawab dalam hal ehwal tatatertib,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memindahkan guru besar SJKC Pai Chee, Mersing, Johor ke PPD buat sementara waktu hingga siasatan berhubung isu penghinaan yang didakwa berunsur rasis berlaku di sekolah itu selesai.

Berikutan beberapa isu yang berlaku di sekolah itu, tiga guru terbabit memohon kepada PPD pada November lalu untuk dipindahkan.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, kira-kira 50 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara tidak mempunyai bangunan sendiri.

“Ada yang beroperasi di sekolah seperti di Putrajaya ini, selain menyewa bangunan lain.

“Justeru, kita akan melihat perkara ini secara holistik untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");