Berita Hari Ini

Elak fahaman songsang

SEREMBAN: Umat Islam di negeri ini diseru berguru dalam mempelajari al-Quran dengan memahami setiap isi kandungannya supaya ia tidak disalah tafsir sehingga terpesong daripada maksud dan ajaran Islam yang sebenar.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu hendaklah diberikan perhatian bagi mengelakkan umat Islam daripada terjerumus kepada fahaman salah yang boleh menyebabkan sikap taksub sehingga boleh membawa kepada pengertian yang songsang.

“Sekiranya ini berlaku, perbuatan seperti ini boleh menyebabkan ada pihak akan bersikap prejudis dan benci kepada Islam dan akan mengaitkan Islam itu dengan perbuatan buruk termasuklah keganasan.

“Hari ini telah muncul istilah Islamophobia akibat daripada perbuatan segelintir golongan pelampau Islam dalam perjuangan mereka. Ini amat bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar yang menganjurkan perdamaian dan kesejahteraan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Menghafaz dan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Sembilan di sini.

Hadir sama pada majlis Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Selain itu katanya, senario dunia Islam hari ini seharusnya menyedarkan kita bahawa perpecahan dalam kalangan negara dan umat Islam itu sendiri boleh menjadikan Islam itu lemah.

Sehubungan itu katanya, umat Islam wajib berusaha untuk membina sebuah masyarakat yang bertakwa, berilmu dan beramal.

“Kita perlukan ummah yang berkualiti setanding dengan bangsa lain di negara maju. Matlamat ini memang boleh dicapai sekiranya kita sentiasa sedar betapa pentingnya perlu melalui kehidupan ini dengan panduan ajaran al-Quran dan sunnah Nabi.

“Yakinlah jika sentiasa berpandukan kepada ajaran al-Quran dan sunnah Nabi, akan dapat menjadikan negara sentiasa aman dan sejahtera,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");