Membawang Hari Ini

Haiza utama keluarga

Selepas setahun bertugas sebagai penyampai di Best FM, Haiza membuat keputusan meninggalkan stesen radio yang berpusat di Johor Bahru, Johor itu.

Tindakan tidak melanjutkan kontraknya itu dibuat selepas perbincangan diadakan dengan pihak pengurusan dan mereka menghormati keputusan diambil Haiza.

Ditemui baru-baru ini, Haiza atau Rohaizah Nordin menjelaskan, keputusan itu diambil selepas dia memikirkan kepentingan untuk mendahulukan keluarganya.

Katanya, ia tidak ada kena-mengena dengan isu tidak puas hati dengan pihak pengurusan.

“Suara Johor Sdn Bhd melayani saya dengan sangat baik sepanjang saya bertugas bersama mereka. Saya berbanyak terima kasih kepada mereka selepas setahun bersama.

“Pegawai dan rakan sekerja seperti Zairi dan lain-lain juga bagus. Kami bekerja seperti satu keluarga. Tidak timbul isu saya tidak berpuas hati soal bayaran atau berkecil hati dengan mana-mana pihak. Semua itu tidak pernah berlaku,” katanya.

Tegas Haiza, keputusan itu diambil semata-mata kerana keluarga. Katanya, dia sudah mencuba selama setahun dan suami berasakan susah untuk mengatur hidup berkeluarga.

Tanpa berselindung Haiza mengakui sepanjang bertugas dengan Best FM, suaminya terpaksa ditinggalkan bersendirian di Kuala Lumpur.

“Kami hanya bertemu seminggu sekali apabila dia terpaksa ke Johor Bahru. Anak pula saya terpaksa tumpangkan kepada ibu dan ayah di Pontian, Johor.

“Berulang-alik dalam tempoh itu sangat memenatkan dan saya juga menyusahkan ibu dan ayah yang terpaksa menjaga Nur Iman Syafi’e.

“Memanglah kalau hendak diikutkan tidak ada masalah nenek atau atuk hendak menjaga cucunya tetapi mereka, larat mana sangat hendak menjaga?

“Rasa bersalah dan berdosa pula apabila saya dan suami terpaksa bergantung pada ibu bapa untuk jaga anak kami. Selepas berbincang dengan suami, saya berasakan ini jalan terbaik,” katanya.

Haiza yang mula menimba pengalaman menjadi penyampai di stesen KLFM mulai 2012 hingga 2014, akui kontraknya tiga tahun dengan Best FM tetapi disingkatkan ke setahun saja selepas perbincangan dengan pengurusan.

“Walaupun menjadi penyampai, saya masih meneruskan kerjaya nyanyian. Jadi susah untuk saya mengimbangi kedua-dua kerjaya ini kalau saya bertugas di Best FM.

“Dulu sewaktu bertugas di KLFM, perkara itu tiada masalah disebabkan kebanyakan tawaran mengadakan persembahan di Kuala Lumpur.

“Andai ada tawaran mengadakan persembahan di utara tanah air atau di pantai timur pun tidak ada masalah disebabkan jarak ulang-alik tidak berapa jauh, dan saya tidak menghadapi masalah untuk bertugas keesokan paginya. Tapi kalau di Johor agak payah,” katanya.

Begitupun, kata Haiza, dalam tempoh setahun itu pegawai dan rakan sekerja di Best FM amat memahami dan mereka tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai masalah.

Sebagai pekerja, sudah tentu Haiza berasakan ia tidak adil dan untuk itu adalah baik dia mengambil langkah itu dan pada waktu sama, keluarga tidak lagi berjauhan antara satu sama lain.

Haiza juga tidak menafikan semenjak menyertai program Gegar Vaganza musim kedua, jadual kerjaya nyanyiannya agak padat dan kebanyakannya berlangsung di Kuala Lumpur.

“Kalau dulu apabila bertugas di KLFM, habis saja kerja petang saya sudah boleh buat kerja lain sebab semua tertumpu di Kuala Lumpur.

“Bayangkan saya pula memang jenis orang yang suka bekerja dan tidak boleh duduk diam. Kalau di Johor Bahru, habis saja bertugas pagi di Best FM saya sudah tidak buat apa-apa. Tambah pula anak dan suami tidak ada bersama, perkara itu membuatkan saya berasa bosan,” katanya.

Haiza juga menafikan tidak mahu menyambung kontrak kerana ada kaitan dengan single terbarunya yang dalam pembikinan. Sekiranya masih menjadi penyampai di Best FM, bimbang nanti lagu dihasilkan itu tidak mahu diputar stesen radio lain.

“Itu bukanlah puncanya. Pada saya ia tidak mempengaruhi apa-apa dan sebagai penyanyi, saya mengharapkan perkara seperti itu tidak berlaku.

“Saya masih sayangkan kerjaya nyanyian dan sebagai penyanyi, lagu baru adalah nyawa dan kelangsungan kerja. Sekiranya berhabis duit untuk menghasilkan lagu baru tetapi ia tidak diputarkan di radio, bermasalah juga nanti kepada penyanyi.

“Tapi saya sebenarnya percaya kepada rezeki yang ditentukan. Memang sekarang saya tidak lagi bertugas sebagai penyampai Best FM tetapi kalau pada masa akan datang ditawarkan menjadi penyampai untuk stesen radio lain dan tawarannya menarik, saya tidak keberatan menerimanya asal saja saya bertugas di Kuala Lumpur,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");