Membawang Hari Ini

Hans, Ziela, Norman kini Datuk

Pekan: Dianugerahi pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk memberi 1,001 makna buat artis, Hans Isaac dan ia seolah-olah mengimbau kenangan bersama bapanya.

Pengarah Urusan Tall Order Sdn Bhd itu berkata, bapanya satu ketika dulu pernah bertugas sebagai pengiring kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang ketika itu adalah Yang di Pertuan Agong.

“Berdiri di Balairung Seri seolah-olah terbayang di mata saya suasana ayah yang pernah menjadi pengiring kepada Sultan Ahmad Shah dan hari ini (semalam), giliran saya untuk merasai suasana sama seperti ayah saya rasa.

“Perasaan saya bercampur baur, gembira dan terharu, segala penat jerih bergiat dalam bidang seni selama ini dihargai,” katanya ketika ditemui di Istana Abu Bakar di sini, semalam.

Hans menerima pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah.

Dua artis lain yang turut menerima pingat DIMP adalah Presiden Eksekutif KRU Bros Sdn Bhd Norman Abdul Halim atau Norman KRU dan Pengarah Urusan Pena Creative Pictures Sdn Bhd Norzilah Abdul Jalil atau Ziela Jalil.

Pada majlis itu, 254 individu menerima pingat masing-masing termasuk anak Perdana Menteri, Mohd Nizar Najib yang menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk.

Bagi Norman KRU, dia menyifatkan penganugerahan itu sebagai penghormatan besar kepada dirinya dan keluarga.

“Saya bersyukur dan terharu serta menjunjung kasih ke atas Duli Yang Teramat Mulia, Sultan Pahang di atas penganugerahan ini.

“Dengan pengiktirafan ini, saya akan lebih bersemangat melakukan kerja yang memberi kesan ke atas perpaduan dan masyarakat,” katanya.

Katanya, dia bukan saja terbabit dalam industri kreatif tetapi lebih daripada itu dan turut menyumbang dalam bidang lain termasuk pendidikan serta kemasyarakatan.

Menurutnya, dia menitik-beratkan kesan positif kepada masyarakat ketika menghasilkan sesuatu karya atau filem berbanding keuntungan semata-mata.

Sementara itu, Ziela pula berazam untuk terus menghasilkan karya terbaik yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di Pahang dan negara amnya.

“Saya berterima kasih dan bersyukur. Sememangnya tidak terluah dengan kata-kata. Penganugerahan ini memberi inspirasi dan semangat untuk saya meneruskan perjuangan dalam bidang seni serta kemasyarakatan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");