Membawang Hari Ini

Impian Farid Kamil jadi kenyataan

SETIAP individu pastinya ada menyimpan hasrat yang tidak kesampaian dalam kehidupan masing-masing.

Begitu juga dengan aktor Farid Kamil yang berjaya merealisasikan impian dan citacintanya untuk bergelar peguam.

Keinginannya tercapai setelah ditawarkan untuk menggalas watak Khalil yang merupakan peguam syariah menerusi drama terbaharu, Qanun 99 yang bersiaran di Astro Oasis sejak minggu lalu.

“Walaupun hanya dalam lakonan, tetapi ia seakan-akan merealisasikan cita-cita saya untuk bergelar peguam.

“Sebenarnya sebelum menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) saya pernah memohon untuk ke bidang perundangan namun, ketika itu rezeki saya ke bidang seni.

“Bagi saya watak ini sangat peribadi kerana ia mengembalikan cita-cita yang tidak kesampaian,” katanya sambil tertawa ketika ditemui di lokasi penggambaran Qanun 99, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bintang filem Lagenda Budak Setan ini mengakui untuk menjayakan watak tersebut pelbagai cabaran yang harus dilaluinya.

“Apabila ditawarkan, saya tidak berfikir panjang untuk menerima watak ini namun, sepanjang menjalani penggambaran banyak perkara baharu yang saya belajar.

“Sebenarnya saya sendiri tidak pernah terfikir atau bayangkan bagaimana seorang peguam menggalas tugasnya sehinggalah saya sendiri yang melakonkan watak itu.

“Pelbagai kes dan ragam yang harus diselesaikan dan saya tidak nafi ia sedikit sebanyak memberi sedikit tekanan kepada saya untuk berhadapan dengannya situasi itu dalam lakonan.

Tambahan pula setiap kali beraksi di dalam mahkamah, lakonan saya akan diperhatikan oleh hakim yang sebenar yang akan memantau etika dan tatacara mahkamah dalam lakonan.

Sudah tentu ini pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” ujarnya teruja.

Tambah Farid, karakter yang dibawa memberi dimensi berbeza terhadap lakonannya.

“Kalau diikutkan, saya lebih cenderung memilih watak rumit yang memerlukan sentuhan yang lain daripada lain untuk mengembangkan lagi lakonan saya.

“Sebagai pelakon, saya tidak mahu terikat atau meghadkan lakonan dengan sesetengah watak,” katanya yang turut digandingkan bersama pelakon Yana Samsudin dalam drama sama.

Fasa bahagia

Beralih kepada kehidupan peribadinya, Farid bersyukur kehadiran cahaya mata keduanya, Nur Aurora yang dilahirkan pada 19 November lalu lebih menceriakan keluarga kecilnya.

“Alhamdulillah, Aurora kini sudah berusia hampir tiga bulan dan kami bahagia bersama.

“Sebagai bapa, apa yang saya mahu pastikan dapat menyediakan persiapan anak-anak sebagai insan sebelum mereka melangkah lebih jauh dalam kehidupan, InsyaALLAH,” katanya sambil tersenyum.

Diminta mengulas mengenai laman sosial Instagram yang diwujudkan khas buat puteri kesayangannya, Farid memandang perkara itu sebagai sesuatu yang positif.

“Tiada salahnya. Saya melihat Instagram sebagai aplikasi yang mampu merakamkan momen-momen baik yang mana ia mungkin boleh dijadikan sebagai sebuah album.

“Bagi saya ia tidak memudaratkan asalkan ia dimanfaatkan dengan betul,” ujarnya ringkas.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");