Berita Hari Ini

Jaip arah tanggal logo halal

KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengesan pelbagai kesalahan membabitkan penggunaan logo halal, perakuan dan penandaan halal palsu dilakukan pihak industri di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarahnya, Noridzuan Abdul Manan berkata, pihaknya mendapati kesalahan perakuan dan penandaan halal palsu kembali berleluasa kebelakangan ini.

Menurutnya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk menggunakan perakuan halal tanpa mendapat pengesahan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).

“Ada juga industri dan premis perniagaan masih menggunakan logo halal sedangkan pensijilan halal yang dikeluarkan sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemantauan dilakukan di sebuah daerah di negeri ini, kelmarin, Jaip berjaya mengesan sebuah restoran menggunakan logo halal yang sijilnya telah tamat lebih dua tahun lalu.

“Jaip memandang serius perlanggaran peraturan ini yang seolah-olah kembali berleluasa sedangkan ia telah lama dikuatkuasakan,”katanya.

Menurutnya, Jaip menerusi Unit Pengurusan Halal dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak industri dan premis perniagaan yang melakukan kesalahan itu.

Noridzuan berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan mengejut ke premis perniagaan yang dikesan melanggar peraturan dan mereka diberi amaran bertulis supaya membuang segala perakuan halal dan logo halal palsu di premis terbabit.

“Kita minta pihak industri dan premis perniagaan supaya lebih peka mengenai peraturan halal dan tidak menyalangunakan tanda halal palsu untuk meraih keuntungan semata-mata,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");