Membawang Hari Ini

Karnival medan perkenalan

“Mula-mula dia tak layan saya. Tingkah lakunya sombong dan nampak garang,” kata pelawak Atu Zero, 24, menceritakan detik awal perkenalan dengan isterinya, Shafeeqa Johari, 30.

Atu yang mengenali pereka fesyen itu sejak tahun lalu berkata, dia tidak berputus asa dan berusaha untuk berkenalan sebelum mereka menonton wayang sebagai temu janji pertama selepas itu semuanya berjalan lancar.

Menurut anggota kumpulan Zero ini, dia bersyukur dan lega selepas niatnya untuk menjadikan Shafeeqa sebagai isteri akhirnya termakbul.

Atu atau nama sebenarnya Sharid Kunal Doli Sharif, 24, sah bergelar suami kepada Shafeeqa dalam majlis pernikahan di kediaman keluarga Shafeeqa di Jalan Peserai Lama, Batu Pahat, Johor, pada jam 10 pagi Isnin lalu.

Selain dua lagi anggota Zero iaitu Syaiful dan Sharif yang juga abang kepada Atu, majlis terbabit turut dihadiri rakan artis seperti Ajak Shiro, Achey Bocey dan Along Cham.

Atu berkata, dia mula berkenalan dengan Shafeeqa di karnival anjuran saluran televisyen di ibu kota, tahun lalu.

“Ketika itu, kumpulan Zero belum memenangi pertandingan Maharaja Lawak Mega 2015.

“Bagi saya, Shafeeqa seorang wanita sempurna dan paling sesuai untuk saya. Walaupun dia enam tahun lebih tua daripada saya, tetapi ia tidak akan mengubah cinta saya kepadanya,” katanya.

Atu berkata, dia juga bersyukur kerana keluarga Shafeeqa tidak memandang pada darjat dan latar belakang Atu yang berasal daripada keluarga susah.

“Selepas mengenalinya, saya dapati Shafeeqa seorang yang tegas namun hatinya baik dan penyayang,” katanya.

Dalam majlis pernikahan itu, Atu memberikan mas kawin RM1,000 selain wang hantaran RM30,000, sebentuk cincin, gelang emas bertatah berlian dan tujuh dulang hantaran.

Antara hantaran diberikan Atu kepada Shafeeqa termasuklah beg tangan; komputer riba, jam tangan, coklat, jam tangan, kek cawan dan minyak wangi.

Shafeeqa pula membalas dengan sembilan dulang, lapan daripadanya ialah kasut sukan berjenama.

Shafeeqa berkata, kasut sukan diberikan kepada suaminya kerana Atu begitu meminati jenama kasut sukan berjenama terkenal dan menjadi pengumpul tegar jenama berkenaan.

“Selain itu, lapan dulang kasut adalah simbolik tarikh hari kami diijabkabulkan iaitu 8 Februari.

“Saya tahu Atu minat kasut sukan jenama itu dan mengambil keputusan untuk memberikannya sebagai hadiah hantaran pada majlis pernikahan kami. Saya berpendapat lebih baik beri hadiah yang dia suka dan akan dia gunakan berbanding barangan lain,” katanya.

Sementara itu, majlis persandingan yang diadakan di lokasi dan hari sama dihadiri hampir 4,000 tetamu dengan majlis persandingan bermula selepas Zuhur.

Rombongan pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan pada jam 2.15 petang diraikan mengikut tradisi penduduk Johor termasuk enam lapisan ‘tol’ sebelum Atu dibenarkan bersanding di pelamin bersama isterinya.

Pada majlis itu, Shafeeqa kelihatan jelita mengenakan gaun ungu yang direka dan dijahitnya sendiri, dilihat sesekali ketawa melihat gelagat rombongan Atu termasuk Ajak Shiro dan Achey Bocey berbalas pantun di setiap ‘tol’.

Manakala Atu yang kelihatan segak mengenakan kot hitam dan tali leher hasil rekaan dan jahitan isterinya tenang melihat gelagat Ajak Shiro dan Achey Bocey yang menggamatkan suasana.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");