Membawang Hari Ini

Kedudukan tercorot sebagai ‘penggera’

Memasuki konsert minggu keempat Mentor Milenia Ahad lalu, semua lapan protege mula menunjukkan kehebatan masing-masing di hadapan penaja Pamoga Qu Puteh, Datuk Seri Vida serta peminat yang bersesak hadir memenuhi Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.

Empat Mentor iaitu Black, Hazama, Azlan dan Zimi The Majistret yang mewakili Akim juga sudah bersedia menampilkan kehebatan protege mereka pada battle kedua ini.

Kedudukan pada battle pertama menyaksikan Mya (protege Hazama) muncul juara mingguan dan membawa pulang RM1,000.

Manakala, Fareez (protege Hazama) dan Han (protege Akim) pula berada pada kedudukan terbawah. Ini mencetuskan cabaran buat kedua-dua mentor ini bagi menaikkan semula semangat Fareez dan Han untuk kembali bangkit dalam persaingan.

Qody (protege Black) membuka pentas dengan lagu medley Zapin Usik Mengusik & Zikir Kasih yang mendapat pujian semua mentor.

Kemunculan Nuri (protege Azlan) menerusi lagu Bang Bang dari filem Pitch Perfect 2, cukup menggamatkan suasana. Namun, nyanyian Ebba (progete Akim) dengan lagu No One (Alicia Keys) selepas itu kurang menyengat.

Ebba disifatkan kurang menghayati lagu ini. Giliran Mya pula tampil selepas itu dengan lagu Apakah Ini Cinta (Judika). Permulaan nyanyiannya agak baik, tetapi Mya akhirnya mengalami masalah ‘pitching’ untuk lagu ini.

Persembahan Zetty (protege Azlan) menerusi lagu Khayalan (Black Dog Bone), Han (protege Akim) dengan lagu Laskar Pelangi (Nidji) dan Fareez (Rindu Serindu Rindunya-Spoon) juga mendapat pujian Mentor.

Paling mencuri tumpuan ialah persembahan Wanie (protege Black) menerusi lagu Joget Kenangan Manis & Joget Angan Tak Sudah yang menerima tepukan gemuruh serta pujian melambung dari Datuk Seri Vida.

Bagaimanapun, realitinya undian akhir menyaksikan Wanie dan Mya yang dilihat mempunyai kelebihan berada pada dua kedudukan terbawah. Salah seorang daripada mereka bakal tersingkir daripada meneruskan cabaran dalam Mentor Milenia.

Namun, kedua-duanya menarik nafas lega apabila pengacara, Issey Fazlisham dan Marsha mengumumkan tiada penyingkiran minggu ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap Penerbit Eksekutif Mentor Milenia, Muhamad Sufian Isa berkata, mereka masih memberikan peluang kepada mentor dan protege untuk mencari rentak dalam program ini.

“Minggu lalu dua peserta menduduki tangga terbawah dan minggu ini orang lain pula. Kami melihat perlunya diberikan peluang lagi sebelum penyingkiran dibuat. Diharapkan dengan cara ini, semua Mentor tahu cara untuk memperbaiki kekurangan persembahan protege mereka.

“Berkenaan kedudukan artis pula, kami tak dapat berbuat apa-apa kerana penjurian menetapkan juri awam di studio sebanyak 30 peratus dan selebihnya menerusi undian di laman web rasmi mentor Milenia,” jelasnya yang membayangkan dua penyingkiran protege sekali gus pada minggu depan.

Penerbitnya, Ahmad Shaifullizam pula menegaskan, setiap Mentor dan protege perlu bekerja keras untuk memenangi hati penonton di studio mahu pun di rumah.

“Kami sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat dari segi personaliti, pakaian dan pelbagai lagi. Soal pemilihan lagu juga diserahkan kepada Mentor. Setiap mereka ada pasukan masing-masing yang membantu,” katanya.

Sementara itu, Hazama menganggap kedudukan Mya di tangga terbawah sebagai penggera untuk protegenya meningkatkan kualiti persembahan selepas ini.

“Ini bagus buat mereka. Contohnya Fareez agak teruk pada minggu lalu dan memperbaiki persembahannya minggu ini. Harapan peminat pada Mya pula mungkin agak tinggi dan ini mungkin mengganggu tumpuannya.

“Saya sebenarnya pelik kenapa dia berada di tangga terbawah. Ikutkan, semua protege buat silap. Memang dia ada masalah ‘pitching’ tetapi persembahannya bagus. Alhamdulillah dia masih kekal,” katanya.

Black pula mengakui kurang berpuas hati dengan kedudukan Wanie kerana anak didiknya sudah memberikan persembahan terbaik.

“Saya kecewa kerana peminat mungkin tak menilai dari segi bakat. Harapnya mereka jujur dalam hal ini. Diakui minggu lepas saya kecewa dengan Wanie dan Qody, tapi minggu ini saya puas hati dengan mereka.

“Wanie buktikan dia juga mampu menyanyikan lagu asli dengan baik. Jika dia terkeluar, saya ada rancangan hasilkan single untuknya,” katanya.

Wanie yang ditemui mengaku gembira kerana dapat menunjukkan persembahan yang baik minggu ini.

“Memang terkejut apabila saya berada di tangga terbawah. Apapun saya sudah buat yang terbaik,” katanya.

Qody pula mengakui minggu lalu persembahannya kurang menjadi kerana berdepan dengan suasana baru di depan kamera dan penonton.

“Kali ini saya buat yang terbaik dan cuba penuhi kehendak Black. Saya tak pandai menari, tetapi tetap cekalkan hati belajar untuk persembahan malam ini,” katanya yang muncul sebagai juara mingguan.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");