Sukan Hari Ini

Lawan macam final: Zainal

Shah Alam: “Anggap seperti final.” Itu kata-kata azimat pengendali Selangor Zainal Abidin Hassan kepada barisan pemainnya apabila bertandang ke Larkin bagi menghadapi aksi sulung Liga Super bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) malam esok.

Aksi itu akan turut mempertaruhkan Piala Sumbangsih selain tiga mata penuh sekiranya ada pemenang dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Justeru, Zainal yang kini menjadi tumpuan apabila menjadi pengendali baru skuad Merah Kuning musim ini menegaskan mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi ujian pertama itu.

Katanya, biarpun kelebihan memihak tuan rumah yang bakal dibantu sorakan hampir 30,000 penyokong, senario itu langsung tidak menghadirkan rasa gerun jiwa pengendali itu dan pemainnya.

“Walaupun kelebihan nampak ada pada Johor DT kerana bermain di tempat mereka, pemain harus mengambil perlawanan itu seperti perlawanan akhir.

“Bagi saya, pemain perlu berdisiplin dan juga jangan terlalu memikirkan corak permainan lawan, sebaliknya mesti memberi sepenuh tumpuan terhadap aksi sendiri.

“Bagaimanapun, kedua-dua pasukan inginkan piala itu (Piala Sumbangsih) selain tiga mata pertama sebagai penentu hala tuju kami musim ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Mini, di sini, semalam.

Ditanya mengenai pemain cedera, Zainal yang pernah mendakap Piala Sumbangsih ketika membimbing Pahang pada 2014 menerangkan, hanya tonggak tengah Mohd Fitri Shazwan yang berada dalam senarai kecederaan.

“Buat masa ini cuma Fitri. Dia nampaknya tidak cergas untuk Sabtu ini kerana kecederaan lutut dan perlu berehat secukupnya,” katanya.

Ujar Zainal, beliau mengharapkan perlawanan itu mampu ditamatkan dalam masa sebenar, namun andai terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti, pasukannya sudah bersedia untuk mengharungi saat getir itu.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");