Isu Panas

MB perlu masa bukti tak seburuk disangka

ALOR SETAR – Sebaik sahaja Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik menjadi Menteri Besar Kedah, terdapat terlalu banyak viral berkaitan kelayakan akademik beliau dipaparkan di media sosial.

Isu itu seolah-olah menjadi ‘senjata’ untuk menyerang keperibadian Adun Bakar Bata itu, terutama daripada pihak yang menyokong kepimpinan menteri besar sebelum ini, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tidak dinafikan ramai yang mempertikai kemampuan Ahmad Bashah mentadbir Kedah berikutan latar belakang akademiknya, namun itu bukan petunjuk utama dalam mengukur prestasi kerja seseorang.

“Walaupun adalah lebih baik jika beliau memiliki pendidikan tinggi, sekurang-kurangnya beliau jujur dan mengakui tahap pendidikan yang ada,” katanya.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu, Ahmad Bashah perlu diberikan masa untuk membuktikan dirinya tidak seburuk yang disangka.

“Beri peluang kepada beliau untuk tadbir Kedah dan kita wajar buat penilaian berdasarkan prestasi kerja, jika beliau gagal selepas itu, baharulah beliau boleh dikecam,” katanya.

Mohd Azizuddin berkata, biarpun kelayakan akademik beliau dipersoal, namun pengalaman dalam parti dan kerajaan tidak wajar dipertikaikan.

“Cuma menjadi persoalan, adakah Ahmad Bashah mampu bawa idea pembangunan dan politik yang boleh membawa kepada kesejahteraan rakyat Kedah? Namun semua pihak perlu beri peluang untuk beliau buktikan kemampuan memimpin. Memandangkan usianya 66 tahun, saya rasa tidak banyak sumbangan besar yang mampu dibuat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Ahmad Bashah perlukan barisan Exco mantap yang pada masa sama bertindak sebagai pemikir bagi mencetuskan idea bernas.

“Untuk melancarkan pentadbiran, kesemua anggota Exco perlu beri sokongan padu. Exco yang dipilih perlu memiliki kriteria berpendidikan tinggi dan muda bagi meneruskan agenda pembangunan Kedah,” katanya.

Menurutnya, Ahmad Bashah mampu mentadbir dengan cemerlang sekiranya disokong pasukan (Exco) yang mantap.

“Sekiranya beliau pilih Exco daripada kalangan sama umur, kerajaan negeri akan lemah dan tidak memfokus kepada aspek jangka panjang. Boleh masukkan Exco berusia namun tidak boleh terlalu ramai,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");