Berita Hari Ini

Misi tangani jalan berlubang di ibu kota

KUALA LUMPUR: Menyedari bahawa keadaan jalan di bandar raya ini perlu sentiasa diselia dan dinaik taraf, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah meletakkan misi untuk memastikan bandar raya ini bebas daripada masalah jalan berlubang menjelang tahun 2017.

Tanggungjawab ini diletak di bahu Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL.

Timbalan Pengarah Kanan jabatan itu, Sabudin Mohd Salleh berkata DBKL menyedari banyak berlaku masalah jalan berlubang, mendap, tampalan tidak sempurna dan retak sehingga mengundang banyak masalah lain seperti menjadi punca kepada kemalangan.

Menurutnya faktor utama yang menyebabkan masalah jalan berlubang ialah pembangunan berterusan yang sentiasa berlaku di sekitar ibu kota serta diikuti kaedah penurapan jalan tidak sempurna yang dilakukan syarikat utiliti yang bertanggungjawab mengorek lubang.

“Sehubungan itu DBKL sentiasa sedang memantau setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di bandar raya ini demi memastikan setiap jalan, laluan pejalan kaki terutama yang terletak berhampiran tapak projek berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

“Sekiranya keadaan adalah sebalikinya, DBKL akan menarik balik permit kelulusan pembangunan atau tidak meluluskan sijil kelayakan kepada pemaju,” kata Sabudin.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab pihak pemaju membaiki jalan yang rosak berhampiran tapak projek mereka yang disebabkan kekerapan lori bermuatan tinggi keluar-masuk di jalan utama sedia ada sehingga jalan menjadi berlekok, berlopak dan seterusnya berlubang.

Selain itu Sabudin berkata mulai tahun ini, syarikat utiliti tidak lagi dibenarkan membuat kerja menurap jalan yang mereka korek, sebaliknya ia akan dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak DBKL dengan kos turapan akan ditanggung syarikat utiliti berkenaan.

Beliau berkata untuk tujuan turapan sahaja, DBKL telah melantik 24 buah kontraktor untuk berbuat demikian.

“Sejumlah 13,612 jalan berlubang di sekitar Kuala Lumpur telah diturap dan diperbaiki oleh pihak kami tahun lepas dan bagi bulan Januari tahun ini, sebanyak 1,153 jalan telah kami perbaiki,” katanya.

Sabudin menambah DBKL memperuntukkan lebih RM100 juta bagi mengurus jalan raya serta saliran di bawah bajetnya bagi tahun ini. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");