Jenayah

Nekad redah banjir selamatkan bayi

TAMPIN: Seorang ibu nekad bersama suaminya untuk meredah banjir hampir 1 meter ke tempat yang lebih tinggi kerana bimbang air semakin naik sehingga membahayakan nyawa anak sulung mereka berusia enam bulan di Kampung Ru Air Kuning, di sini, awal pagi semalam.

Nurzaljannah Mohd Razali, 26, mula menyedari air melimpah ke rumah pada jam 12 tengah malam dan segera menghubungi Balai Polis Air Kuning untuk meminta pertolongan menyelamatkan keluarganya dan sebuah lagi keluarga yang menetap di perkampungan sama.

Bagaimanapun menurutnya, dia dimaklumkan laluan ke penempatannya itu telah terputus sehingga menyukarkan bantuan tiba bagi menyelamatkan mereka sekeluarga.

“Lama-lama saya lihat air semakin tinggi. Tilam bayi saya, Amir Zafran Mohd Nor Amaluddin Amin mula terapung.

“Bimbang tilam semakin basah dan bayi tenggelam, saya dan suami nekad redah banjir dan masuk ke dalam kereta yang diletakkan di tempat lebih tinggi.

“Akhirnya pasukan penyelamat tiba membantu kami keluar dari kawasan berkenaan pada jam 7 pagi. Mujur saya segera balik ke rumah kerana berasa tidak sedap hati selepas habis kerja di Hospital Kuala Lumpur pada jam 5 petang,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Balai Raya Kampung Parit Buloh, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Penolong Penguasa Bomba, Syed Ammar Syed Abas berkata, laluan ke penempatan keluarga berkenaan sudah terputus berikutan jambatan yang menghubungkan laluan telah pecah.

“Jadi, pasukan bomba telah berjalan kaki lebih dua kilometer bagi menyelamatkan dua keluarga terbabit termasuk bayi enam bulan itu dengan mendukungnya” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");