Membawang Hari Ini

Noh teruja 2 album istimewa

Meskipun nama Noh Salleh dan Joe ­Flizzow berada pada prestij tersendiri, pendatang baru seperti SonaOne juga makin menyerlah.

Tiga figura industri muzik tanah air ini nampaknya berjaya mengumpul kelompok peminat tersendiri dengan genre muzik yang mereka perjuangkan.

Bersua dengan Noh, Joe dan SonaOne selepas hadir menghiburkan pengunjung di Kempen #Green24 AirAsia di APW, Bangsar baru-baru ini, mereka sama sekali rancak menguruskan projek muzik sendiri.

Noh atau Mohammad Noh Salleh, 32, akui teruja menantikan kemunculan album istimewa terbaharunya bersama kumpulan Hujan tidak lama lagi.

Sebagai vokalis Hujan, Noh juga memaklumkan album yang mungkin berada di pasaran bulan depan memuatkan 12 lagu baharu dan lama.

“Album ini saya anggap sangat istimewa kerana ia dapat dihasilkan selepas tiga tahun. Bagi saya, tahun ini adalah masanya. Namun untuk penghasilan album ini, kami sudah berusaha melakukan yang terbaik.

“Sama ada terjual atau sebaliknya, bergantung pada peminat. Apa yang pasti, Hujan berjaya mencapai matlamat kami untuk muncul dengan album baru. Saya sangat gembira dengan penghasilan album ini,” katanya.

Noh yang juga bergerak secara solo dalam perjuangan muziknya kini muncul dengan album pertama, Angin Kencang dengan memuatkan enam lagu. Lagu Angin Kencang baru-baru ini berentap dalam Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL30) dan Noh tidak kecewa tewas.

Katanya, persaingan 12 lagu dalam AJL30 sengit dan semua lagu yang berentap ada kehebatan tersendiri.

“Bagi saya, kalah atau menang adat bertanding. Sudah tercalon layak untuk bertanding pada kemuncak AJL30 pun rezeki sangat bermakna.

“Meskipun persembahan saya nampak ringkas, hanya itu yang mampu dilakukan. Ditambah, ketika itu saya memang mengutamakan vokal,” katanya yang besar hati melihat persembahan hebat dan bertenaga Bunkface, Stacy dan Altimet.

Mengenai projek album solo seterusnya, Noh berkata dia seronok karier nyanyian solonya dan bergabung dengan Hujan bergerak seiring.

Menurutnya, apa pun dia akan pastikan projek album istimewa bersama Hujan dilancarkan lebih dulu, manakala perancangan untuk album solo keduanya sekitar Mei depan.

Sementara itu, Joe Flizzow bersikap terbuka untuk mencari peluang menjalin kerjasama dengan komposer asing untuk album terbaharunya yang akan dilancarkan tahun ini.

Joe atau Johan Ishak, 37, berkata baru-baru ini dia memuat naik status bagi laman sosial Twitter miliknya berhubung pencarian lagu baharu dan diakui menarik perhatian komposer seluruh dunia.

Katanya, dia tidak menyangka status itu mendapat maklum balas sangat baik apabila menerima lebih 350 lagu daripada komposer asing.

“Saya sangat terkejut sebaik melihat e-mel saya dipenuhi lagu baru diterima daripada komposer asing yang datang dari Amerika Syarikat (AS), Jerman, England dan Indonesia.

“Ternyata kemudahan teknologi komunikasi masa kini sangat membantu dalam proses membuatkan dunia muzik menjadi kecil dan boleh dikongsi di mana saja,” katanya.

Joe berkata, bagi menghargai usaha yang dilakukan semua komposer yang menghantarkan lagu, dia mengambil pendekatan membuat penilaian satu demi satu.

Bagaimanapun, katanya, daripada ratusan karya yang diterima hanya dua lagu yang berjaya menambat hatinya. Dua lagu terpilih itu hasil ciptaan komposer Amerika.

Memaklumkan dia sudah berhubung dengan komposer terbabit, Joe berkata, dia masih dalam fasa perbincangan secara teliti dan terperinci.

Popular dengan lagu Havoc, Apa Khabar dan Evo, Joe berkata, dia sukakan cara kerjasama seperti ini kerana menyuntik inspirasi baharu dalam penghasilan lagu lebih baik dan berkualiti.

Abadi kisah hidup dalam Growing Up Sucks!

Selepas empat tahun sabar dalam penghasilan album sulungnya, SonaOne akui album Growing Up Sucks! sangat bermakna bagi dirinya.

Album yang memuatkan nostalgia kehidupan remaja SonaOne yang indah ketika dia berusia 21 tahun hingga kini akan dilancarkan tidak lama lagi.

SonaOne, 27, yang teruja menantikan pelancaran album itu tidak lama lagi berkata, sebanyak 12 lagu ciptaannya dimuatkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Nampaknya penantian saya selama ini untuk muncul dengan album sulung akan jadi kenyataan. Saya berharap album ini diterima baik oleh peminat.

“Seiring dengan judul Growing Up Sucks!, saya mengabadikan kisah kehidupan alam remaja dilalui dalam rangkaian lagu dimuatkan.

“Inginkan hasil album terbaik buat peminat dengan berpandukan tunjuk ajar penghibur senior seperti Joe, saya sangat teliti dalam album ini.

“Saya tidak terburu-buru dalam penghasilan lagu dan berharap peminat menerima album ini dengan baik,” katanya.

Popular dengan lagu No More dan Hak Eleh sebagai single kedua, kini SonaOne mempertaruhkan lagu Firefly sebagai single ketiga, SonaOne atau nama sebenar Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach berkata, dia yakin keupayaan lagu itu.

“Sama seperti lagu No More, saya anggap Firefly akan bantu membuatkan kemunculan saya dengan album ini lagi menyerlah pada kalangan peminat.

“Album ini juga adalah lambang kematangan saya dari usia remaja hingga kini. Justeru, tak dinafikan ada juga lagu dalam album ini mungkin kurang sesuai buat kanak-kanak,” katanya.

Apapun, yang pasti SonaOne juga harus dipuji apabila berani mengambil langkah memuatkan kira-kira 90 peratus lagu bahasa Inggeris dalam album sulungnya.

Pemuda berdarah Melayu-Perancis ini bagaimanapun meraih beberapa kejayaan dalam karier muzik yang diminatinya sejak berumur 12 tahun.

Antara kejayaan diperoleh SonaOne ialah menang Lagu Terbaik, Apa Khabar bersama Joe di Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29), tahun lalu dan melalui single pertamanya No More, SonaOne menang Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21).

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");