Berita Hari Ini

PAC cadang bentang laporan 1MDB ke Parlimen

SHAH ALAM – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bercadang membentangkan laporan berhubung Pengurusan Kawalan Urus Tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke Dewan Rakyat bagi sesi Mac hingga April depan.

Pengerusi PAC, Datuk Hassan Ariffin berkata, memandangkan prosiding membabitkan 1MDB telah berlarutan sejak Mei 2015 dan maklumat diterima daripada sembilan prosiding sebelum ini, ia cukup untuk pihaknya membuat rumusan yang objektif, telus dan adil.

“Saya sudah memaklumkan dalam Mesyuarat PAC lepas bahawa prosiding membabitkan Tan Sri Bakke Salleh (bekas pengerusi 1MDB) dan Datuk Shahrol Ibrahim Halmi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB )pada 11 dan 12 Februari ini adalah yang terakhir di bawah tajuk Pengurusan Kawalan Urus Tadbir Syarikat 1MDB.

“Pada masa sama, Ketua Audit Negara akan membentangkan Laporan Akhir Pengauditan Terhadap 1MDB pada 24 serta 25 Februari ini dan sudah pasti PAC memerlukan masa untuk meneliti selain menilai laporan akhir berkenaan.

“Lagipun laporan Ketua Audit Negara ini sangat penting kerana ia merupakan sumber utama sebagai rujukan kepada PAC dalam membuat rumusan sebelum dibentangkan ke Parlimen nanti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas mengenai saranan Ahli Jawatankuasa PAC, Tony Pua mengenai keperluan memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bagi memberi keterangan dalam prosiding 1MDB, Ariffin berkata, ia sebenarnya tidak diperlukan.

“Ia disebabkan segala isu ketika Mohd Hazem menjadi CEO sudah dijawab Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin ketika prosiding pada 19 dan 20 Januari lalu.

“Saya berpandangan, sebagai Pengerusi 1MDB, beliau bertanggungjawab untuk mengetahui secara mendalam operasi syarikat. Sehubungan itu, semua maklumat dan jawapan yang diberikan Pengerusi 1MDB sudah mencukupi untuk PAC membuat rumusan berhubung dengan urus tadbir 1MDB,” katanya.

Jelasnya, isu 1MDB di bawah Bank Negara telah dijelaskan oleh 1MDB secara terbuka dalam media massa dan ia sudah mendapat ulasan daripada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Walau bagaimanapun, Tony boleh membangkitkan ini dalam prosiding PAC yang akan datang dan jika ahli PAC bersetuju untuk memanggil lebih ramai lagi saksi.

“Ia terpulang kepada jawatankuasa ini, tetapi apa yang pasti, ia boleh melambatkan proses rumusan sekaligus menyebabkan hasrat saya dan PAC untuk membentangkan Laporan PAC berhubung Pengurusan Kawalan Urus Tadbir 1MDB dalam sesi Parlimen akan datang tidak akan tercapai,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");