Berita Hari Ini

Polisi harga tunggal selepas Hari Raya tahun ini

KUALA LUMPUR – Polisi Harga Tunggal (SPP) yang menyelaraskan harga barang dan perkhidmatan bakal dilaksanakan selewat-lewatnya selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata SPP bertujuan mengelak pengguna terkeliru terhadap harga sesuatu barang atau perkhidmatan yang ditawarkan.

“Ada peniaga pamer harga termasuk GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), ada yang pamer tidak termasuk GST, walaupun di resit ada perinciannya. Jadi pengguna sukar untuk membuat pilihan ketika hendak membeli-belah atau mengguna perkhidmatan. Jadi kita akan selaraskan polisi harga ini,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan pemeriksaan premis perniagaan di sekitar Jalan Masjid India di sini, berkata kementerian kini dalam proses perbincangan dengan pihak berkaitan sebelum polisi berkenaan boleh dilaksanakan.

“Kami (pihak kementerian) sedang berbincang dengan semua pihak berkepentingan termasuk pengusaha hotel, pengusaha restoran dan sebagainya, jika tidak ada sebarang masalah selewat-lewatnya kami akan laksana lepas raya tahun ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas pemeriksaan yang dilakukan hari ini, Hamzah berkata kebanyakan pemilik premis tidak mempamerkan lesen dan hanya menyerahkan operasi kedai kepada pekerja.

Terdapat juga pemilik yang menggaji pekerja asing untuk menjaga perniagaan mereka, katanya.

“Ingin saya tegaskan bahawa kami akan melakukan operasi besar-besaran untuk memeriksa lesen dan pekerja asing minggu depan,” katanya.

Beliau mengingatkan peniaga yang gagal mempamerkan lesen sah dan menggaji pekerja asing tanpa permit akan terus dikenakan kompaun dalam operasi itu nanti yang akan turut disertai Jabatan Imigresen.

Sebelum itu, Hamzah yang menaiki tren LRT dari stesen Titiwangsa ke Masjid Jamek berkesempatan beramah mesra dengan penumpang tren sepanjang perjalanan tersebut.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");