Berita Hari Ini

Proguam saran tubuh Ombudsman

ROMPIN – Persatuan Pengamal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Malaysia (Proguam) Pahang menganggap cadangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 sebagai satu tindakan mengugut atau sengaja mahu menutup mulut rakyat.

Pengerusi Proguam Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, beliau sebaliknya mencadangkan sebuah badan dinamakan Ombudsman di bawah Parlimen ditubuhkan untuk tujuan memantau pentadbiran negara.

Menurutnya, mekanisme atau institusi yang juga dikenali sebagai hisbah itu juga telah wujud di beberapa negara yang menjadi sebahagian dari mekanisme pentadbiran efektif yang memainkan peranan sebagai ‘watch dog’ kepada kerajaan.

“Cadangan Peguam Negara itu perbuatan terkebelakang dalam sistem keadilan sosial dan Islam yang bertunjangkan konsep amal makruf nahi mungkar selain kegagalan menangani kemarahan serta kebangkitan rakyat terhadap salah laku yang didedahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Proguam turut berpandangan, Peguam Negara bertanggungjawab meneliti dan mengawal selia perjalanan pentadbiran negara supaya mengikut tata kelola undang-undang manakala salah guna kuasa bererti satu kesalahan jenayah terhadap rakyat.

Beliau berkata, segala maklumat perlu diperbetulkan sekiranya terdapat salah urus dan perbuatan luar biasa dalam urus tadbir negara.

Menurut beliau, perbuatan membocorkan rahsia hanya perlu diambil tindakan sekiranya ia terbukti mensabotaj dan perlu dibicarakan di mahkamah terbuka.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid menerusi blognya pernah mengulas mengenai Ombudsman atau hisbah yang perlu diwujudkan iaitu satu mekanisme khas yang berperanan bukan sahaja memantau pentadbiran negeri malah mempunyai kuasa untuk memastikan pentadbiran dijalankan dengan adil, saksama, cekap, telus dan jauh dari rasuah.

Menurutnya, berdasarkan kepada iklim politik hari ini, keperluan untuk melembagakan institusi hisbah merupakan satu keperluan penting malah ulama dan cerdik pandai Islam telah menganjurkannya sebagai wahana yang penting dalam pentadbiran serta keperluan nombor satu bagi memastikan kebajikan rakyat dipertahankan kerajaan.

“Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali (Imam Al-Ghazali) dalam kitabnya yang terkenal Ihya’ Ulli Muddin membahaskan keperluan menubuhkan Hisbah dengan kuasa tertentu untuk melahirkan pentadbiran yang cekap dan amanah. Intitusi Hisbah ini menurutnya hendaklah diketuai seorang yang alim dan berilmu (faqih) di samping benar-benar berani menegakkan keadilan serta ketua bagi hisbah dipanggil Al-Muhtasib.

“Institusi ini bukanlah suatu yang asing dalam sejarah pemerintahan Islam malah ia sudah di perkenalkan seawal pemerintahan Khalifah Umar sesetengah sejarawan Islam menyebut beliau merupakan pemimpin Islam pertama yang mengasaskan institusi hisbah ini manakala pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah, hisbah telah di institusikan sebagai sebahagian daripada cabang penting dalam pemerintahan.

“Bagaimana pula dengan bidang kuasa hisbah atau Al-Muhtasib? Menurut Imam Al-Ghazali, Al-Muhtasib mempunyai kuasa bukan sahaja segala aspek yang berhubung dengan rakyat atau manusia, malah mencakupi juga dengan ternakan (haiwan) dan alam sekitar. Asas kepada kuasa Al-Muhtasib ini ialah seruan untuk menegakkan amar makruf dan menghalang perbuatan mungkar,” tulisnya.

Mengulas lanjut berkaitannya, beliau turut menekankan falsafah dan modus operandi hisbah ini kemudiannya turut dijadikan ciri penting pentadbiran moden iaitu di negara Barat ia dikenali sebagai Ombudsman.

“Di kebanyakan negara seperti United Kingdom, Australia, Albania, Pakistan dan beberapa negara lain Ombudsman telah dijadikan institusi penting kerajaan untuk mewujudkan ‘check and balance’ serta ketelusan.

“Taiwan umpamanya mewujudkan institusi dikenali Control Yuan yang dianggap sebagai cabang khas kerajaan di bawah prinsip perlembagaan Taiwan-Three Principles Of The People,” katanya.

Secara peribadi, beliau turut berpandangan perang melawan rasuah wajar dijadikan upaya penting dan tanggungjawab utama pemerintah malah menegaskan ketiadaan institusi hisbah atau Ombudsman menjadi antara penyebab utama korupsi membarah dalam masyarakat.

“Akan tetapi perkara yang paling penting ialah ‘political will’ dari pimpinan dan kemampuan untuk melembagakan hisbah atau Ombudsman ini yang tidak dicemari tangan-tangan politik serta benar-benar bebas yang amat diperlukan. Jika tidak, ia tidak akan memberi sebarang makna,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");