Membawang Hari Ini

Rai 35 tahun Search

Mempertahankan keakraban sebuah kumpulan muzik untuk tempoh 35 tahun bukanlah mudah.

Inilah pengalaman indah yang dilalui anggota kumpulan Search iaitu Amy (penyanyi), Nasir (bass), Kid (gitar), Nordin (gitar) dan Yazit (dram).

Sejak ditubuhkan pada 1981, Kid adalah anggota ‘bongsu’ Search kerana hanya menyertai kumpulan rock legenda ini pada 1989.

Sepanjang tempoh mereka bersama, Search sudah menghasilkan hampir 30 album meliputi album konsert live dan kompilasi yang mendapat sambutan hangat daripada peminat setia mereka.

Bahkan, mereka juga aktif mengadakan pelbagai konsert di seluruh negara dan yang paling diingati ialah Konsert Evolusi Rock 2004 di Stadium Merdeka yang dihadiri oleh 45,000 peminat.

Terbaru, Search berjaya menawan 8,000 peminat dalam Konsert Panggung Khayalan yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity Nusajaya, Johor pada 24 Oktober tahun lalu.

Sebagai meraikan sambutan 35 tahun penubuhan mereka di persada seni tanah air, Search akan tampil dengan konsert istimewa yang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 9 April depan.

Redland Terminal Centre & Hangar Complex di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang menjadi lokasi istimewa sidang media, Rabu lalu untuk pengumuman konsert bersejarah anjuran Afjets Sdn Bhd ini yang dirancang sejak empat bulan lalu.

“Konsert ini sememangnya diadakan khas untuk menghargai peminat yang setia menyokong Search selama lebih tiga dekad. Sudah pasti konsep persembahannya berbeza daripada konsert yang pernah kami jayakan sebelumnya.

“Setakat ini tiada artis yang difikirkan sebagai pembuka tirai kerana kami nak sajikan persembahan Search sepenuhnya untuk tempoh selama dua jam setengah. Ini kolaborasi muzik kami yang berjaya menyatukan pelbagai bangsa,” kata Amy.

Menurutnya, penganjuran konsert ini akan mencipta sejarah muzik rock & roll dan mereka menjanjikan satu memori lain daripada yang lain yang sukar dilupakan peminat.

“Kelainan dapat dilihat apabila tempat duduk dan berdiri konsert ini dinamakan mengikut lagu popular kami iaitu Mat Rock, Isabella, Kejora, Pawana dan Fenomena. Konsert ini juga akan dirakam dalam bentuk DVD dan akan dipasarkan.

“Proses untuk konsert ini agak istimewa kerana susunan lagu yang dinyanyikan juga berbeza daripada konsert sebelumnya. Kami akan tampilkan beberapa lagu yang jarang dinyanyikan.

“Proses pemilihan lagu yang sesuai masih berjalan dan kalau boleh ia akan menceritakan perjalanan Search selama 35 tahun dalam industri seni tanah air,” katanya.

Mengulas lanjut pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi konsert, Amy mengibaratkan ia pentas besar seperti Madison Square Garden di New York, Amerika Syarikat yang menjadi venue konsert berskala besar.

“Kalau di Barat, sesiapa yang beraksi di Madison Square Garden dianggap hebat. Samalah halnya di Stadium Merdeka kerana orang bayar tiket dan datang semata-mata untuk menonton persembahan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Sdn Bhd Amrul Nizar Anuar berkata, lebih RM2 juta bakal dibelanjakan bagi menjayakan konsert istimewa ini.

“Saya sendiri adalah peminat Search. Mereka terlalu hebat sehingga membuatkan saya tak ragu-ragu menganjurkan konsert ini. Beberapa kejutan bakal diadakan pada konsert ini yang akan memberikan kenangan istimewa kepada peminat.

“Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan dan kami akan mengumumkan perkara ini mengikut fasa promosi yang sudah diatur. Diharapkan peminat Search bersabar dalam menantikan kejutan ini,” katanya.

Sidang media yang sama juga turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Bunkface, Hazama, Pita Hati dan Akim & The Majistret yang menyanyikan barisan lagu popular Search.

Tiket untuk menonton berharga RM135 (Mat Rock), RM135 (Isabella), RM288 (Kejora), RM288 (Pawana) dan RM899 (Fenomena) mula dijual mulai 11 Februari di www.ticket.com.my.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");