Jenayah

Sindiket penjualan keanggotaan istana tumpas

SHAH ALAM : Polis Selangor telah menumpaskan satu sindiket penjualan keanggotaan Istana Diraja Selangor dengan tertangkapnya dua lelaki warga tempatan di Seri Kembangan dan Ampang pada 5 dan 6 Feb lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Selangor, ACP Mohd Sakri Arifin berkata suspek pertama berumur 27 tahun itu ditahan di tempat letak kereta sebuah hotel di Seri Kembangan pada pukul 9.30 malam, 5 Feb.

Penahanan lelaki itu adalah susulan aduan daripada individu tertentu mengenai kewujudan sebuah kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran sama dengan kereta pengiring Istana Selangor, katanya.

“Soal siasat ke atas lelaki itu telah membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 53 tahun.

“Lelaki kedua ditahan di sebuah kediaman di Pandan Indah, Ampang pada pukul 8 malam keesokan harinya (6 Feb) dan dia dipercayai dalang kepada sindiket berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd Sakri, sindiket yang bergiat aktif sejak 2013 itu mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM20,000 bagi setiap penjualan keanggotaan itu.

Katanya, kebanyakan jenis keanggotaan itu dijual kepada ahli perniagaan di sekitar Selangor dan siasatan awal polis menganggarkan kira-kira 50 individu telah diperdayakan oleh sindiket terbabit.

“Modus operandi sindiket adalah dengan memberi kad keanggotaan bertulis Ahli Istana Diraja Selangor, sehelai kertas kuning, pelekat kenderaan dan satu set lambang Istana Diraja Selangor,” katanya.

Beliau berkata kertas kuning berkenaan dipercayai sebagai ‘tiket’ yang boleh digunakan di mana-mana jabatan kerajaan bagi mendapat keistimewaan dalam proses kelulusan permit serta kontrak kerajaan negeri.

Jelasnya lagi, dokumen itu juga didakwa mampu menghindarkan individu yang memilikinya daripada dikenakan sebarang hukuman bagi kesalahan jalan raya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana individu yang menjadi mangsa sindiket itu supaya tampil membantu siasatan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");