Jenayah

‘Tak sampai 10 minit dia keluar’

TANGKAK: “Dia ada minta izin nak pergi ke seberang parit tengok rakan-rakannya mandi. Tak sampai 10 minit, jiran datang maklumkan dia dah lemas.”

Demikian luah Norhaini Ali, ibu kepada Abd Hadi Abd Hamid, mangsa banjir pertama di Johor kelmarin.

Menurut Norhaini, 40, dia tidak menyangka permintaan itu juga merupakan kata-kata terakhir arwah kepadanya sebelum anaknya itu ditemui lemas kira-kira 300 meter dari kediamannya.

“Setiap kali nak keluar, dia memang akan minta izin. Saya seakan tak percaya dia terjun ke parit itu sebab kami semua tahu yang dia langsung tidak pandai berenang dan tidak gemar mandi sungai seperti orang lain.

“Tambahan pula, dia pernah maklumkan kepada saya yang dia tidak akan pergi ke parit itu kerana ada lintah selain airnya yang kotor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Difahamkan, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang itu pada mulanya hanya memerhatikan dari sebuah pondok sebelum dipercayai terjun ketika rakan-rakannya selesai mandi.

Menurut Norhaini, sebelum kejadian, arwah anaknya itu juga tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Dia memang seorang yang agak pendiam termasuk dengan kami sekeluarga.

“Tapi seperti kebiasaannya, menjelang cuti persekolahan dia akan bantu bapanya di bengkel motosikal. Cuma sejak beberapa minggu kebelakangan ini dia nampak kurang berminat untuk mengikut bapanya,” ujarnya.

Norhaini juga menyifatkan anak kedua daripada empat beradik itu memang seorang anak yang baik dan tidak banyak ragam.

“Sebab itu setiap kali hendak keluar walaupun berdekatan rumah, dia mesti akan maklumkan kepada saya,” katanya.

Abd Hadi meninggal dunia akibat lemas setelah terjun ke dalam parit di Kampung Tanjung Labuh di sini Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, mayat mangsa ditemui anggota bomba dan penyelamat dan JPAM yang melakukan pencarian pada jarak enam meter dari tempat mangsa dipercayai terjun.

Difahamkan, mangsa terkapai-kapai sebaik terjun ke dalam parit yang paras air ketika itu meningkat pada 3.6 meter berikutan banjir. Mayat mangsa ditemui di dasar parit.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");