Membawang Hari Ini

Tak sangka boleh ‘tarik’ suara Ziana

Minat menyanyi dan menjadikan Ziana Zain sebagai idola sejak bersekolah rendah, juara Seiras Seirama musim pertama Azlina Aziz, 28, atau Azlin, tidak menyangka rezeki memihak kepadanya.

Melihat persaingan daripada peserta lain, wanita berasal dari Rembau, Negeri Sembilan itu masih terkejut dan teruja. Azlin berkata, dia begitu mengagumi suara bernada tinggi Ziana dan tidak menyangka dia juga boleh menyanyikan lagu bernada seperti itu dengan baik.

“Saya meminati Ziana sejak zaman kanak-kanak lagi dan suka mendengar suara nyanyiannya. Alhamdulillah saya tidak sangka suara saya boleh ‘tarik’ lagu nyanyiannya dan berjaya memenangi pertandingan ini.

“Jujur saya akui pada awalnya bimbang juga melihat kehebatan peserta lain, malah saya ingat ikon Ella iaitu Zila yang akan menang kerana dia memberi persembahan yang menarik selain suaranya hampir mirip Ella,” katanya.

Azlin mempersembahkan lagu Tiada Kepastian dan Sangkar Cinta secara solo dan medley serta lagu duet berjudul Senja Nan Merah bersama Aweera. Dengan kemenangan itu dia membawa pulang wang tunai RM20,000 dan trofi sumbangan Astro.

Mengulas apakah perancangannya selepas ini, Azlin berharap diberi peluang menghasilkan lagu duet bersama Ziana.

“Insya-Allah jika ada rezeki saya mahu berduet dengan Ziana,” katanya.

Selain Azlin, enam lagi peserta yang bertanding, Azri, Akira, Norya, Zila, Azry dan Tyka yang masing-masing mewakili ikon Faizal Tahir, Hafiz Suip, Mas Idayu, Ella, Datuk Jamal Abdillah dan Misha Omar.

Disiarkan secara langsung daripada Studio 1, Astro Bukit Jalil program realiti itu juga dipancarkan terus ke saluran Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).

Program dihoskan Datuk Aznil Nawawi manakala juri, Datuk AC Mizal, Datuk Khadijah Ibrahim dan Mamat Khalid. Program itu menggunakan sistem 100 peratus pemarkahan oleh juri profesional.

Sementara itu, Ziana berkata, kemenangan Azlin adalah platfrom terbaik untuknya memperkenalkan diri dalam bidang seni.

“Saya ada juga melihat dia berlatih di studio milik abangnya. Saya hanya boleh memberi semangat dan tips, selebihnya terpulang kepada kemampuan dan kekuatan Azlin sendiri,” katanya.

Sementara itu, Khadijah berkata, semua peserta bagus dan memberikan per­sembahan konsisten.

“Adat dalam pertandi­ngan kami harus memilih yang terbaik dan pada pentas akhir itu, persembahan Azlin ternyata lebih baik daripada yang lain. Dia bukan hanya boleh meniru suara Ziana, malah berjaya menyampaikan persembahan dengan bagus sekali,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");