Berita Hari Ini

Terus tumpukan usaha membantu rakyat

Cheras: Semua pihak diminta mengurangkan sikap berpolitik, sebaliknya terus menumpukan usaha membantu rakyat dan membangunkan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, tindakan seumpama itu akan memastikan Malaysia terus kukuh dari segi ekonomi, terutama dalam keadaan ia baru sahaja memeteraikan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Katanya, ia juga selari dengan jangkaan negara akan menghadapi cabaran berikutan daripada beberapa pengumuman dasar baru.

“Bagaimanapun, kami yakin akan dapat mengatasi semua cabaran itu setelah mengambil kira aura Tahun Monyet Api tahun ini.

“Sebab itu, kekuatan mesti ada dalam hidup bersama dan kurangkan retorik serta buat kacau,” katanya pada sidang media selepas majlis rumah terbuka anjuran parti GERAKAN di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 5,000 rakyat pelbagai kaum hadir memeriahkan suasana Tahun Baru Cina dengan berkumpul seawal jam 10 pagi.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba di pekarangan Menara PGRM pada11 pagi.

Ketibaan Najib disambut oleh Siew Keong yang juga Presiden GERAKAN serta kepemimpinan tertinggi parti diiringi tarian singa.

Pengunjung yang hadir disajikan dengan pelbagai makanan termasuk ayam bakar dan ‘Mi Bing’, kuih bakul goreng dan Kuih Kapit selain limau Mandarin, yang menjadi keutamaan semasa sambutan Tahun Baru Cina.

Antara kenamaan lain yang hadir ialah Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) lain.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");