Membawang Hari Ini

‘Tiada istilah putus asa’

Persaingan minggu kedua Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016 di Dewan Teater Diraja Selangor, Shah Alam, Jumaat lalu menyaksikan penyingkiran kumpulan Awok sebagai peserta pertama tersingkir daripada program ini.

Awok yang dianggotai oleh Ain, Filzah dan Ayie tersenarai sebagai tiga kumpulan terbawah pada minggu pertama dan mereka dilihat menampilkan komedi yang mampu menggeletek hati peminat.

Untuk minggu kedua, mereka sekali lagi berada di kedudukan tiga peserta terbawah bersama Kavin dan Chilok. Awok akhirnya akur apabila juri, Najib Ali mengumumkan mereka tersingkir kerana mengutip mata paling rendah.

Penyingkiran Awok sememangnya sudah dijangka kerana mereka gagal memberikan persembahan yang menghiburkan. Idea yang longgar, sikap gugup serta ‘punchline’ yang kurang menyengat menjadikan suasana di Dewan Teater Diraja Selangor, agak sepi tanpa gelak ketawa penonton.

Ditemui pada sidang media, Ayie yang dikenali dengan karakter penjahat dalam filem Polis Evo berkata, mereka akur dengan penyingkiran itu kerana gagal memberikan persembahan terbaik dalam pentas MLM.

“Kami sebenarnya tidak meletakkan sasaran besar dalam program ini. Saya sendiri seorang pelakon dan apabila Ain dan Filzah menghubungi saya untuk bergabung dalam Awok, saya terima. Saya bukanlah pelakon komedi tapi tetap mencuba dan berikan komitmen apabila diberi peluang,” katanya yang pernah tampil dalam sitkom Salam Pantai Timur terbitan RTM.

Biarpun sering berdepan kegagalan di pentas MLM, Filzah mengakui tidak berputus asa dan akan terus mencuba.

“Istilah itu tiada langsung kerana selagi diterima, saya akan terus menyertai MLM. Mungkin rezeki saya tiada pada masa ini. Saya sudah cuba yang terbaik dan reda dengan penyingkiran ini,” katanya.

Ain pula akan terus berusaha memantapkan persembahan dan mencontohi Jihan yang dianggap sebagai idolanya.

“Bukan mudah untuk mencari kematangan dalam persembahan. Tak dinafikan beraksi di atas pentas bukannya mudah. Saya sendiri berasa panik apabila tiada penonton ketawa dengan persembahan kami. Jika Jihan ambil tempoh lima tahun untuk berjaya, tak salah jika kami ikut seperti yang dilakukannya,” katanya.

Persembahan Awok juga mengundang sedikit kontroversi apabila mempunyai unsur ‘double meaning’. Peminat kurang gemar perkataan yang menjurus kepada perkara lucah disebut biarpun mengandungi maksud berbeza.

Mengulas perkara ini, Pengurus Saluran Astro­ Warna Emarina Kamal berkata, perkara ini berlaku kerana Awok terlalu lambat memberitahu apa inti pati sebenar komedi mereka.

“Apa yang dimaksudkan mereka hanyalah untuk bermain dam. Namun, mereka terlalu berlengah-lengah untuk sampai ke maksud sebenar sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan penonton.

“Kami sebenarnya faham apa yang ingin mereka sampaikan. Lagipun kami juga sudah menasihatkan semua peserta agar tidak memasukkan unsur lucah dalam komedi yang ditampilkan. Awok bernasib baik kerana sempat keluarkan apa maksud sebenar ayat mereka pada penghujung persembahan,” katanya.

Menurutnya, peserta sekali lagi diberikan tema bebas minggu ini dan pada minggu berikutnya barulah akan ditampilkan tema khas dalam persembahan mereka.

“Juri juga masih berlembut serta memberikan semangat dalam memberikan komen terhadap peserta. Bagaimanapun, mereka akan berubah sepenuhnya dalam minggu ketiga kerana peserta perlu menunjukkan kemampuan sebenar dalam MLM,” katanya.

Meneliti persembahan peserta, Bunga Citra Lestari, selaku juri memuji Kavin kerana sudah mampu menghilangkan perasaan gemuruhnya ketika di pentas.

“Saya berikan tiga Ha buatnya kerana Kavin semakin bagus. Untuk Bocey pula, saya mengharapkan mereka memberikan komedi yang lebih kerana sudah mempunyai pengalaman yang luas dalam MLM.

“Jumlah Ha yang diberikan bergantung kepada kemampuan peserta berlawak dan bukannya kerana dipengaruhi oleh sorakan penyokong mereka,” katanya.

Sementara itu, kumpulan Shake mengakui kegagalan mereka mengekalkan momentum komedi seperti yang dilakukan minggu lalu.

“Kami sebenarnya cuba buat eksperimen dalam berlawak. Malangnya ia tak sempat habis sepenuhnya. Inilah yang buat kami sedikit terkilan. Tahun lalu kami mampu bertahan sehingga minggu ketujuh. Harapnya kami dapat pergi lebih lagi tahun ini,” ujar Bell, Mie dan Amir.

Persaingan minggu kedua MLM 2016 menyaksikan LOL menduduki tangga teratas dengan undian 66.82 peratus, Bocey (65.35 peratus), Joras (63.59 peratus), Saywho (62.88 peratus) dan Bora (62.14 peratus).

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");