Sukan Hari Ini

Tiga pasukan boleh diheret ke Jawatankuasa Tatatertib

JAWATANKUASA Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggesa tiga pasukan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan dan Felda United FC menyelesaikan segera isu tunggakan gaji melibatkan 21 pemain sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M), bermula hujung minggu ini, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Pengerusinya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya gagal melunaskan tunggakan gaji kesemua pemain, ketiga-tiga pasukan itu boleh dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Menurutnya, selain denda, pasukan terbabit juga boleh dikenakan potongan mata oleh badan induk bola sepak kebangsaan itu seperti dicadangkan Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) jika terus ingkar menyelesaikan isu tersebut.

“Saya menyeru kepada persatuan negeri mematuhi keputusan Jawatankuasa Status bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji ini. Kalau tidak patuh, kita tidak teragak-agak untuk merujuk kes ini ke Jawatankuasa Tatatertib.

“Kalau masih gagal, Jawatankuasa Tatatertib boleh menggunakan kod disiplin dengan memotong mata ke atas pasukan berkenaan. Jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk berbuat demikian berdasarkan pertimbangan mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan Persatuan Bola Sepak ATM (PBATM), Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan Kelab Bola Sepak Felda United (FUFC) mempunyai tunggakan gaji sebanyak RM4.47 juta melibatkan 21 pemain sepanjang musim lalu.

ATM mendahului senarai iaitu RM3.7 juta membabitkan 15 pemain, Kelantan berdepan tuntutan lima pemain (RM477,000) manakala bekas pemain Felda United, Mohd Azrul Ahmad menagih pampasan RM220,000 selepas kontraknya yang berbaki setahun ditamatkan lebih awal.

Takiyuddin yang turut tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya mengenai isu itu memberitahu, adalah tidak adil bagi persatuan bola sepak negeri memandang remeh tuntutan tunggakan gaji pemain dalam era bola sepak profesional, ketika ini.

“Ia memberi gambaran buruk, mereka (pemain) bekerja tapi tak dibayar gaji. Saya rasa kita perlu lebih bersedia memantapkan lagi kedudukan kewangan agar semua pasukan boleh mengharungi zaman penswastaan liga, bermula tahun ini,” katanya.

Mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail yang menempelak jawatankuasanya berikutan lambat bertindak menangani masalah itu, Takiyuddin menjelaskan, pihaknya perlu menggunakan saluran Jabatan Undang-Undang FAM sebelum membicarakan sesuatu kes yang dirujuk kepada mereka.

“Memang kita ambil tindakan segera tetapi ia bergantung sejauh mana aduan itu dibuat, contohnya pemain perlu sertakan bukit lengkap bersama afidavit yang kukuh, kemudian kita minta persatuan bola sepak negeri beri afidavit balas.

“Banyak kes sepatutnya didengar pada hari perbicaraan terpaksa ditangguhkan atas permintaan persatuan bola sepak negeri. Tak timbul soal lambat (bicara), esok (hari ini) pun kita ada mesyuarat, minggu lepas pun ada mesyuarat, kita (jawatankuasa) kalau dah cukup kuorum tiga orang, sudah boleh bersidang,” katanya.-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");