Sukan Hari Ini

Yakin Troare, Ilijoski menyerlah

KETUA Jurulatih Kelantan, K Devan belum panik walaupun jentera penggempurnya kurang menyerlah, sedangkan pasukannya akan berdepan Perak pada aksi sulung Liga Malaysia (Liga-M) di Stadium Perak, Ipoh, kurang seminggu lagi.

Pengendali skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors itu percaya, prestasi dua penyerang import utamanya iaitu Dramane Troare dari Mali dan Blazhe Ilijoski (Macedonia) akan mencapai tahap sebenar dalam aksi pembuka tirai itu.

“Saya nampak persefahaman jitu dalam kalangan pemain masih kurang. Kita bermain dengan lebih tersusun dan ada beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun penyudah kita kurang tajam di depan pintu gol.

“Untuk mengatasi masalah ini, mereka (pemain) perlu (diberi) lebih masa terutama kombinasi dua pemain import (Troare dan Ilijoski) itu dengan bahagian tengah yang dilihat kurang baik pada perlawanan ini,” katanya kepada pemberita selepas aksi persahabatan menentang T-Team di Kota Bharu, malam kelmarin.

Kelantan terikat seri 1-1 dengan T-Team dengan Troare menjadi penyelamat apabila menyamakan kedudukan sembilan minit sebelum permainan tamat selepas Tomislav Busic meletakkan skuad The Titans di depan pada minit ke-63.

Menurut jurulatih berusia 54 tahun itu, walaupun Troare dan Ilijoski gagal mencipta watak pembunuh, namun kedua-dua pemain itu telah menunjukkan peningkatan setelah digandingkan buat pertama kali dalam perlawanan itu.

“Saya puas hati dengan dia (Ilijoski), kalau diberi masa yang cukup, prestasinya akan bertambah baik. Begitu juga Troare, sudah boleh membentuk persefahaman dan bijak bertukar hantaran dengan rakan sepasukan,” katanya.

Pada masa sama, bekas pengemudi Negeri Sembilan musim lalu itu mengakui dia perlu memperkemaskan lagi benteng pertahanan pasukannya sebelum pertemuan menentang skuad The Bos Gaurus di gelanggang lawan itu.

“Sekali lagi gawang kami bolos menerusi set piece. Jadi, saya kena perbaiki kelemahan itu terutama apabila kita perlu bertahan ketika pasukan lawan memperoleh peluang menjaringkan gol menerusi situasi bola mati.

“Tetapi saya tetap gembira dengan prestasi pertahanan kita. Mohd Daudsu (Jamaludin) nampak kental di bahagian kanan, begitu juga Mohd Noor Hazrul (Mustafa) cukup bersemangat, mungkin dia hendak tunjukkan sesuatu apabila bertemu bekas pasukan lamanya, pada 13 Februari ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");