Sukan Hari Ini

Anak watan perlu kental

Kuala Lumpur: Ramai yang teruja bila mendapat berita kelab Serie B Itali FC Bari 1908 bakal dimiliki ahli perniagaan dari Malaysia Datuk Dr Noordin Ahmad.

Walaupun ia bukan sesuatu yang baharu kerana dua kelab Inggeris Queens Park Rangers (QPR) dan Cardiff City sudah dikuasai masing-masing oleh Tan Sri Tony Fernandes dan Tan Sri Vincent Tan namun apa yang dilakukan oleh Noordin itu disambut dengan reaksi positif.

Apatah lagi beliau bersedia menawarkan tempat untuk beberapa pemain muda berlatih dengan akademi kelab itu dalam usaha untuk membantu perkembangan skuad kebangsaan.

Namun persoalannya masih adakah pemain tempatan yang bersedia untuk bermain di luar negara dalam tempoh yang lama?

Bagi bekas penyerang kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang pernah menimba pengalaman beraksi dengan kelab Perancis RC Strasbourg dan FCSR Haguenau pada 1999-2001, beliau berpendapat hanya pemain yang benar-benar berjiwa bola sepak sanggup meninggalkan segala keselesaan di negara sendiri.

“Semua atas diri sendiri, jika pemain itu fikir dengan beraksi di liga tempatan dan mendapat gaji lumayan sudah cukup bagi mereka, memang susah mereka untuk ke luar.

“Saya dulu sudah tanamkan dalam diri untuk capai tahap tertinggi dalam bola sepak dan saya mencuba nasib di Perancis. Memang pada awalnya memang susah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, makanan tapi Alhamdulilah dalam tempoh tiga bulan saya sudah sedikit selesa.

“Memang sebab jiwa saya jiwa bola sepak, sebab itu saya berani ke luar. Tapi malangnya, saya tidak bertahan lama, hanya dua tahun saja kerana kecederaan hamstring saya terpaksa pulang semula ke Malaysia,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sememangnya tidak ramai pemain tempatan yang berani mencuba nasib di luar negara. Pemain muda Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim pernah ke Liga Divisyen Tiga Jepun bersama FC Ryukyu dan Nazmi Faiz Mansor ke kelab Portugal S.C Beira-Mar tapi tidak bertahan lama.

Malah bukan sesuatu yang mengejutkan apabila kajian FourFourTwo Malaysia/Singapura ke atas 100 pemain Liga Malaysia bermula Disember lalu hingga Mac lalu mendapati hanya 33 peratus pemain tidak berpuas hati jika tidak mendapat peluang bermain di luar negara.

“Masalah kita bukan tidak ada pemain yang boleh bermain di luar negara tapi kita tidak ada ejen yang boleh membawa kita keluar. Jangan kita mengharapkan aksi dengan kelab besar, dapat bermain di liga Korea Selatan, Jepun atau Thailand sekalipun juga bagus.

“Untuk bermain dengan FC Bari memang sukar, tapi jika benar pemilik (Noordin) mahu membantu, adalah elok beliau membawa masuk lima, enam pemain muda berlatih di akademi sana untuk tempoh lama, setahun atau dua tahun. Kalau setakat dua, tiga bulan tidak akan membantu,” kata Akmal.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");