Berita Hari Ini

Jangan jual premis warisan kepada warga asing

GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang digesa agar mengawal penjualan premis di bandar ini, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco sejak 2008, kepada warga asing bagi memastikan nilai warisannya tidak terjejas.

Anggota Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Negeri, H’ng Khoon Leng berkata, kerajaan DAP perlu mencari jalan agar milikan premis tidak terlepas kepada warga asing dan jika sesebuah premis ingin dijual, keutamaan harus diberikan kepada pembeli rakyat tempatan.

“Sikap ‘tidak apa’ tak boleh dibiarkan, kerajaan negeri perlu cari jalan untuk hadkan keupayaan warga asing beli premis di negeri ini terutama di tapak warisan Georgetown,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau mendakwa pihaknya mendapati banyak premis seperti bangunan rumah kedai di sekitar Georgetown telah dijual kepada rakyat asing terutama dari Singapura dan penyewa-penyewa telah diarahkan berpindah dalam tempoh terdekat.

Dakwanya, kebanyakan penyewa enggan berpindah kerana telah lama menetap di premis berkenaan selain tiada tempat untuk dituju ekoran tidak mampu menyewa rumah lain pada kadar yang rata-ratanya lebih tinggi.

Dalam pada itu, wakil penyewa rumah kedai di Lebuh Katz di sini, Ong Cheong Pin, 54, mendakwa pemilik asal telah mengarahkan lapan penyewanya berpindah selewat-lewatnya Oktober ini kerana telah menjual bangunannya kepada rakyat Singapura.

“Kami dibenarkan tinggal di sini selama enam bulan secara percuma sebelum pindah, tapi kami tak setuju sebab dah lama tinggal di sini, kebanyakan keluarga tinggal di sini lebih tiga generasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Bahagian Tanjong, Lim Swee Bok berkata, kerajaan negeri perlu turun padang dan melihat sendiri situasi itu bagi memastikan warisan negeri terpelihara.

Beliau berharap agar kerajaan negeri lebih prihatin dan dapat mengambil tindakan untuk memastikan nasib penghuni-penghuni di bangunan warisan itu terbela.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");