Sukan Hari Ini

Nicol tumbang

Kuala Lumpur: Impian ratu skuasy negara untuk muncul juara dan mempertahankan gelaran di hadapan penyokong sendiri tidak kesampaian apabila langkahnya terhenti di suku akhir selepas tewas kepada pemain muda Mesir Nour El Sherbini.

Pemain dari Pulau Pinang itu tewas 12-14, 11-4, 11-3, 11-3 dalam pertarungan yang berlangsung selama 33 minit.

Nyata Nicol gagal mencari tonik terbaik untuk menamatkan badi kekalahan di tangan Nour dan kekalahan di Arena Nicol David di Bukit Jalil itu adalah yang kelima berturut-turut kepada lawannya itu.

Nicol yang ditemui berkata, tewas kepada Nour bukanlah titik noktah kepada kariernya dan berjanji untuk kembali bangkit lebih kuat selepas ini.

“Saya akan berusaha lebih keras selepas ini dan perlu tingkatkan corak permainan saya.

“Saya masih belum terfikir untuk bersara. Saya akan melakukan sesuatu dan berharap dapat bangkit pada waktu yang tepat.

“Rehat yang panjang sebelum menyertai Terbuka Hong Kong pada hujung Mei ini memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki kelemahan dan terus memberi saingan,” katanya.

Mendapat sokongan padu peminat tidak banyak membantu Nicol untuk menguasai rentak perlawanan apabila tewas di set pertama sebelum menang di set kedua.

Saling mengejar mata, corak permainan Nour begitu bertenaga hingga menafikan peluang Nicol untuk menjulang gelaran dunia yang kesembilan di tanah air sendiri berkubur.

Kekalahan itu juga kedua buat Nicol di tanah air sendiri selepas dua tahun lalu juga di Kejohanan Dunia di Pulau Pinang Nicol tewas kepada pemain sama.

Sementara bagi Nour dia berasa simpati terhadap idolanya itu namun inilah lumrah pertandingan.

“Saya simpati dengan kekalahan Nicol tapi tiada apa yang boleh dilakukan kerana menang dan kalah adalah lumrah dalam pertandingan,” kata Nour.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");