Berita Hari Ini

Pesaka sasar 1,000 persatuan silat di sekolah

KOTA BHARU – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menyasarkan 1,000 sekolah menengah atau rendah akan menerapkan seni silat sebagai aktiviti ko-kurikulumnya, kata Presiden Pesaka, Senator Tan Sri Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau berkata, sebelum ini sebanyak 1,118 sekolah sudah mempunyai persatuan silat dan seni mempertahankan diri tersebut akan diperluaskan di sekolah lain.

“Pesaka akan cuba menyuarakan hasrat kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyatakan pandangan berhubung perkara ini dan bagi memperoleh dana.

“Sepertimana yang kita ketahui silat sudah diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara dan anggota Pesaka sebagai benteng ketiga negara selepas tentera dan polis, dan selaras dengan itu penubuhan persatuan seni silat di sekolah sudah tentu bertepatan dengan pengiktirafan yang diberi,” katanya.

Beliau berkata demikikan pada Majlis Presiden Pesaka Turun Gelanggang di Pusat Mahasiswa Kampus Kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian yang turut dihadiri Yang Dipertua Gabungan Seni Silat Kelantan, Ruslan Zakaria di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, Pesaka juga akan cuba mendapatkan dana bagi bayaran elaun kepada guru silat yang mengajar seni silat di sekolah.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menetapkan satu standard pembelajaran di mana setiap pelajar yang ditauliahkan akan menerima sijil daripada persatuan itu.

Selain itu katanya Pesaka akan mengadakan festival silat di Dataran Merdeka yang bakal menghimpunkan 200,000 pesilat.

“Di negara ini, ada 434 perguruan silat dan ia akan dinaik taraf dan diharapkan tiada masalah yang timbul,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");