Berita Hari Ini

Seorang kena strok haba, 7 alami kelesuan haba

KUANTAN – Seorang pelajar dari sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) koma akibat strok haba (heat stroke) manakala tujuh yang lain mengalami kelesuan haba (heat exhaustion) akibat melakukan aktiviti luar yang terdedah dengan cuaca panas melampau.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kesemua pelajar tersebut dipercayai sedang menyertai satu pertandingan endurance peringkat kebangsaan yang menguji ketahanan fizikal mereka.

Tiga orang mendapat rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), dan lima orang di Hospital Jengka.

Menurutnya, sehingga kini negeri Pahang telah mencatatkan 21 kes berkaitan cuaca panas yang telah mendapat rawatan di fasiliti kesihatan.

“Bahaya akibat cuaca panas melampau buat masa ini tidak boleh dipandang ringan. Kejadian seperti ini perlulah diberi perhatian serius lebih-lebih lagi mereka yang menetap di daerah di Temerloh,Jerantut dan sekitarnya. Ini kerana kawasan daerah tersebut adalah antara daerah yang tinggi suhu purata berbanding daerah lain di Malaysia.

“Mereka yang melaksanakan aktiviti lasak dan terdedah terus di bawah terik matahari tidak terkecuali daripada mendapat kesan akibat fenomena ini selain dari kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Beliau ditemui Sinar Harian selepas merasmikan Program Kesedaran Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Afzan di Dewan Sri Makmur Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) di sini, hari ini.

Seramai 320 peserta menyertai program ini yang terdiri daripada 50 agensi kerajaan, swasta, kolej/universiti dan badan sukarela.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang turut memberi penekanan terhadap nasihat kesihatan yang telah dikeluarkan kepada orang awam dalam menangani kesan kesihatan yang timbul akibat fenomena cuaca panas yang melanda negara.

Dr Zainal Ariffin berkata, tindakan tidak ambil endah dan lewat mencegah situasi ini boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Justeru itu, pihak kementerian ingin menasihati orang ramai supaya menangguhkan atau menghadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, memanjat gunung dan lain-lain aktiviti semasa berlakunya gelombang haba ini sehinggalah keadaan kembali reda.

“Jika tidak dapat dielakkan, pakai topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas dan minum air yang telah dimasak dengan secukupnya,” katanya.

Orang ramai juga juga perlu mengetahui tanda-tanda awal kelesuan haba, strok haba dan segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");