Berita Hari Ini

TH catat keuntungan di bawah pentadbiran Ismee

SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan prestasi kewangan dan pelaburan yang cemerlang di bawah pentadbiran Tan Sri Ismee Ismail yang sebelum ini merupakan penyandang Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perolehan TH merekodkan hasil tertinggi pada tahun 2015 iaitu sebanyak RM4.46 bilion dan keuntungan bersih selepas cukai dan zakat melebihi RM3 bilion iaitu rekod tertinggi dicatatkan sejak organisasi tersebut ditubuhkan 52 tahun lalu

“Saya secara peribadi ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada Tan Sri Ismee Ismail CEO Lembaga Tabung Haji yang bakal meninggalkan TH setelah berkhidmat dengan cemerlang lebih 10 tahun selaku CEO,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Semalam, TH mengumumkan bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), BIMB Holdings Berhad, Datuk Johan Abdullah sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2016.

Dalam pada itu, Asyraf turut menyampaikan ucapan syabas kepada TH kerana menyediakan pelan peralihan kepimpinan dengan lancar apabila mewujudkan jawatan Timbalan CEO pada awal tahun lalu setelah Ismee melahirkan hasrat untuk meninggalkan organisasi berkenaan bagi mencuba cabaran baru di institusi lain yang bakal diumumkan kelak.

Menurut Asyraf, pihaknya amat yakin dengan pengganti Ismee, Datuk Johan Abdullah yang sudah menjadi Timbalan CEO sejak Januari tahun lalu dan mempunyai pengalaman luas mengemudi institusi kewangan sebelum ini.

“Kita doakan agar TH terus cemerlang sebagai satu institusi pelaburan dan pengurusan Haji bagi umat Islam yang terbaik di dunia sebagaimana pengiktirafan masyarakat antarabangsa selama ini termasuk negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),”katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");