Panasnya Hari Ini

Untuk Apa Rakyat Membayar GST ? – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mempertikaikan mengapa rakyat perlu membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya kerajaan tidak membantu rakyat dalam menangani kos sara hidup yang semakin meninggi.

Katanya, kesan pelaksanaan GST kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana semakin ketara.

“Dahulu, kerajaan berkata subsidi kepada rakyat adalah punca kewangan negara semakin terbeban. Setiap subisidi yang diberikan dicabut satu persatu bermula dengan subsidi minyak. Ketika itu GST belum dilaksanakan.

“Selepas GST dilaksanakan, bukan sahaja subsidi untuk rakyat tidak ditambah, malah rakyat menyaksikan hampir kesemua subsidi yang pernah dinikmati rakyat seberti beras ST15, bil eletrik dan minyak masak turut dihapuskan.

“Jadi untuk apakah rakyat membayar GST? Makin banyak yang dibayar rakyat, makin banyak nikmat rakyat ditarik balik,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Tuan Ibrahim lagi, kadar inflasi negara kini telah mencapai empat peratus, kadar tertinggi bagi tujuh tahun lepas.

Namun begitu, kata Tuan Ibrahim, apabila rakyat mengadu mengenai peningkatan kos sara hidup, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyalahkan kelulusan pendidikan yang masih di peringkat rendah sebagai punca majoriti rakyat negara ini mengalami tekanan hidup.

“Mudahnya jawapan Perdana Menteri tanpa menyentuh GST. Seolah-olah GST dan inflasi tiada kena mengena dengan kos sara hidup yang terus meningkat saban hari.

“Kalau betul Perdana Menteri sedar pendidikan rakyat sebegitu penting, mengapakah Perdana Menteri sanggup memotong peruntukan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi sebanyak RM2.4 bilion di Bajet 2016 manakala peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri ditingkatkan untuk 2016?”soalnya.

Soalnya lagi, berdasarkan apa yang beliau katakan, wajarkah rakyat terus berkorban untuk kerajaan melalui GST sedangkan tiada langkah drastik untuk menghentikan rasuah, ketirisan dan kebocoran yang semakin berleluasa?

“Sudahnya, sudah nyata pengorbanan rakyat untuk GST bukanlah untuk dinikmati rakyat.

“Duit yang dikorbankan rakyat hanya untuk dinikmati mereka yang berada di dalam kerajaan,”ujar beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");