Membawang Hari Ini

Anis Al Idrus serius menyanyi

PERCUBAAN selebriti ini dalam bidang seni suara ternyata bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Ini kerana, Anis Al Idrus dilihat terus berusaha mengatur langkah ke hadapan dalam bidang itu selepas muncul dengan single pertamanya, Mengapa, sekitar hujung tahun lalu.

“Saya menyanyi bukan sekadar suka-suka.

“Mujur, saya tidak berdepan dengan masalah besar.

“Alhamdulillah, lagu saya turut menerima maklum balas yang positif daripada peminat,” katanya kepada Zass.

Terus mengorak langkah, pemilik nama penuh Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus ini juga bakal tampil dengan single keduanya, tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pelakon Uda & Dara ini mengakui sukar untuk mencari lagu bersesuaian apatah lagi dirinya mengidamkan lagu-lagu bergenre catchy dan santai.

“Saya mahukan sesuatu yang baru, segar dan berbeza daripada sebelum ini.

“Sebenarnya, saya suka akan lagu yang berentak rancak dan comel, namun tidak keterlaluan.

“Kini, saya masih lagi sedang mencari lagu yang sesuai,” katanya.

Jika diimbas kembali, karier seni wanita berusia 28 tahun ini sebenarnya sudahpun cukup kukuh.

Lebih-lebih lagi, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini terlebih dahulu mencipta nama dalam bidang peragaan, lakonan dan pengacaraan.

Bukanlah tamak mengendong segala bidang dalam satu-satu masa, Anis sebaliknya merasakan peluang yang datang tidak harus dibiarkan berlalu.

Oleh itu, pertemuan Anis dengan Pengarah Urusan Music Space Sdn Bhd, Nasir Deraman tidak sesekali dipersiakan.

“Tidak sangka, minat berkaraoke akhirnya membawa saya ke dunia rakaman ditambah pula dengan sifat berani mencuba.

“Jujurnya, saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi. Menyanyi adalah impian saya.

“Namun, niat itu terbantut kerana saya sibuk dengan pelbagai aktiviti lain.

“Lagipun, selama ini, saya juga tidak pernah membuka mulut atau meluahkan hasrat untuk menjadi penyanyi,” katanya.

Bahkan, pelakon drama bersiri Duda Terlajak Laris ini tidak pernah menganggap dirinya terlewat untuk mengorak langkah sebagai penyanyi.

Bagi Anis, usia bukanlah halangan untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Sebenarnya untuk memulakan sesuatu perkara itu tidak pernah ada satu titik atau usia pemula.

“Bila-bila masa atau kepada sesiapa sahaja ia boleh berlaku. Usia bukanlah penghalang untuk memulakan sesuatu kerjaya.

“Bagi saya, rezeki itu adalah ketentuan ALLAH SWT. Untuk bersaing, ia adalah rezeki masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, Anis turut bergelar ahli perniagaan apabila memiliki butik berkonsepkan vendor, Anis Al Idrus Wardrobe yang menempatkan 50 label di bawah satu bumbung, berlokasi di Alam Avenue 2, Shah Alam, Selangor.

Atas dasar itu, pelakon drama bersiri, Dan Bila Esok ini mencuba membahagikan masa di antara kerjayanya sebagai pelakon, penyanyi, pengacara, peragawati dan ahli perniagaan.

“Saya mencuba untuk memberi fokus kepada setiap kerjaya dengan sebaik mungkin.

“Tidak semua orang diberi kesempatan untuk menikmati semua peluang ini yang diberi ALLAH SWT ini. Alhamdulillah.

“Apa yang penting, saya perlu bijak membahagikan masa dan melakukan yang terbaik,” katanya.

Enggan pandang belakang

Pernah terpalit dengan kontroversi cinta tidak kesampaian bersama seorang pelakon lelaki popular, Anis bagaimanapun enggan lagi menoleh ke belakang.

Malah, dalam diam, pelakon drama Gemersik Kalbu ini mempunyai perancangan cukup teratur dalam mencorak percikan warna di atas kanvas seninya.

“Apa yang berlalu biarkanlah ia berlalu. Tolonglah, semuanya sudah lama berakhir.

“Biarlah saya meneruskan kerjaya seni tanpa dibayangi oleh nama yang pernah ada kaitan dengan cerita kontroversi bersama,” katanya.

Bahkan, belajar daripada pengalaman lalu, Anis lebih selesa membicarakan perihal karier seninya berbanding cerita peribadi.

“Saya sedar artis adalah ‘milik’ umum, namun, ada perkara yang perlu disimpan rapi. Cukup saya dan orang terdekat sahaja yang tahu.

“Saya tidak mahu terlalu membuka cerita tentang hal peribadi kerana ada banyak hati yang perlu dijaga termasuk ibu dan bapa saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anis dan penyanyi dari Indonesia, Ustaz Agus Yusup baharu sahaja dilantik sebagai wajah baharu Dinar Emas EET.

“Saya memang suka emas, biasalah gadis Kelantankan?

“Jujurnya, saya memang berminat menyimpan emas sedari kecil lagi. Lagipun, semua tahu emas merupakan satu pelaburan yang baik.

“Jadi pelantikan saya sebagai duta kira kenalah,” katanya sambil tersenyum.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");