Sukan Hari Ini

Annuar sedia singkir pemain Kelantan

TAN Sri Annuar Musa memberi amaran keras akan menyingkirkan mana-mana pemain Kelantan yang didapati melanggar kod etika pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu dipetik menerusi laman sosialnya semalam berkata, beliau dimaklumkan oleh ketua jurulatih, Velizar Popov terdapat pemain tertentu yang kononnya bertaraf bintang, namun gagal mengekalkan disiplin dan menunjukkan komitmen tinggi terhadap pasukan.

Menurutnya, beliau tidak akan berkompromi dalam soal disiplin dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada pengendali baharu Kelantan itu menggugurkan pemain yang dianggap ‘besar kepala’ dalam skuad pantai timur itu.

“Saya serahkan kepada dia (Popov) untuk mengambil apa jua tindakan sewajarnya. Bagi saya, tiada sesiapa pun (pemain) yang (bertaraf) bintang. Pemain yang tidak komited atau tidak berdisiplin boleh dikenakan tindakan termasuk digugurkan.

“Saya cuma mahu melihat TRW (The Red Warriors) yang lebih kuat apabila saingan Liga Super dan Piala Malaysia bermula. Teruskan usaha kita…Insya-ALLAH,” katanya menerusi entri berkenaan.

Kenyataan Annuar itu hadir beberapa hari selepas Popov membidas pemainnya yang tidak menunjukkan minat bermain bersama pasukan itu susulan kekalahan terburuk 2-5 kepada Selangor dalam aksi Liga Super di Kota Bharu, minggu lalu.

Jurulatih berusia 40 tahun itu berang setelah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menjadi pemain kedua mengutip kad merah selepas Wan Zack Haikal Wan Nor dibuang padang di Shah Alam, pada 18 Mei lalu.

Dalam entri sama, Annuar turut memaklumkan beliau bersetuju dengan cadangan jurulatih kelahiran Bulgaria itu yang mahu menukar awang import pasukannya menjelang pintu pendaftaran kedua pemain dibuka, bulan depan.

“Popov melaporkan hasrat untuk memperkukuhkan pasukan dengan membawa masuk tiga pemain import baharu, bulan depan.

“Saya bersetuju dan menyerahkan kepada Popov mencari dan memilih pemain yang sesuai dengan corak permainan yang dia mahukan. Saya akan berusaha memenuhi hasratnya itu,” katanya.

Difahamkan, Popov hanya berminat mengekalkan bekas pertahanan antarabangsa Australia, Jonathan McKain yang kini sudah pulang ke negaranya bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan lutut.

Justeru, kedudukan tiga lagi pemain import iaitu Dramane Troare dari Mali, Blazhe Ilijoski (Macedonia) dan Jonatan Lucca (Brazil) kini bagaikan telur di hujung tanduk dan kemungkinan besar bakal disingkirkan setelah gagal menyerlah sepanjang aksi pusingan pertama.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");