Sukan Hari Ini

Apex akui tugas sukar

PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui tugas sukar menanti pasukannya apabila berdepan Felda United FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali Apex berkata, pertemuan tersebut menjanjikan saingan sengit kerana pendahulu liga itu terbukti cukup kebal di gelanggang mereka, sepanjang musim ini.

“Susah (bagi Kelantan) namun saya fikir segala-galanya tidak mustahil (menewaskan Felda) walaupun pasukan itu tidak pernah kalah di laman sendiri dan gawang mereka hanya bolos satu gol di sana (Jengka).

“Jurulatih (K Devan) mesti tahu kelemahan Felda dan kita kena guna kelebihan itu untuk menewaskan mereka. Apa pun, kita tidak boleh pandang mudah pertemuan ini dan perlu beri komitmen lebih 100 peratus, malam esok,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, kekalahan 2-3 kepada Perak dalam aksi terakhir juga membuatkan skuad Irfan Bakti Abu Salim kembali bersemangat untuk memburu kemenangan dan sudah pasti mereka mahu menjadikan Kelantan sebagai mangsa kebangkitan di laman sendiri.

“Saya fikir selepas tewas kepada Perak, Felda tidak mahu lagi hilang mata penting apabila bertemu Kelantan. Selain itu, mereka juga tidak mahu melepaskan takhta pendahulu liga itu kepada pencabar terdekat, Johor Darul Ta’zim,” katanya.

Biarpun kelebihan tampak memihak The Fighters itu, namun penjaga gol berusia 27 tahun itu menegaskan pasukannya tetap bersedia mempamerkan aksi terbaik dalam pertemuan di stadium yang terletak di Bandar Pusat Jengka itu.

Malah katanya lagi, skuad kendalian K Devan itu juga turut menjalani latihan di padang sintetik di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil sebanyak dua kali, semalam, bagi menyesuaikan diri sebelum bertandang ke kubu kuat Felda United itu.

“Persiapan setakat ini berjalan lancar. Dalam tempoh rehat panjang ini, kita sempat memperbaiki kelemahan dan mengatur strategi sebelum bertemu Felda. Saya lihat semangat pasukan cukup tinggi untuk bertemu pendahulu liga itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, penjaga gawang nombor satu kebangsaan itu turut mengingatkan rakan sepasukannya agar berwaspada dengan kelibat penyerang import Felda United, Francis Forkey Doe, pada pertemuan malam esok.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");