Sukan Hari Ini

Atletico ke Milan

Munich: Atletico Madrid layak ke final Liga Juara-Juara menerusi peraturan gol di tempat lawan awal pagi semalam selepas tewas 1-2 di Bayern Munich, dengan kedua-dua pasukan terlepas sepakan penalti sekali gus menyaksikan perlawanan itu berakhir dengan seri 2-2 secara agregat.

Atletico akan beraksi pada final buat kali kedua dalam tempoh tiga musim menentang sama ada musuh setempat Real Madrid, yang menewaskan mereka pada final 2014, atau Manchester City, yang bertembung pada separuh akhir kedua di Bernabeu, awal pagi tadi.

Kekalahan Bayern menamatkan impian mereka meraih tiga trofi dengan Atletico melangkah ke final 28 Mei ini di San Siro, Milan selepas menang aksi pertama 1-0 minggu lalu.

Kelab Bavaria itu mendahului menerusi sepakan percuma Xabi Alonso selepas setengah jam dan patut mengukuhkan kedudukan tiga minit kemudian namun sepakan penalti Thomas Mueller diselamatkan oleh Jan Oblak.

Atletico menyamakan kedudukan menerusi penyerang Perancis Antoine Griezmann bagi gol ketujuhnya pada pertandingan itu musim ini pada minit ke-54, bermakna Bayern perlu menyumbat sekurang-kurangnya dua gol untuk mara.

Penyerang Bayern dari Poland Robert Lewandowski mencetus debaran lewat perlawanan apabila meledak gol pada minit ke-74 sebelum sepakan penalti penyerang Atletico Fernando Torres pada minit ke-85 diselamatkan Manuel Neuer.

Namun, ia tidak mencetus sebarang perbezaan akhirnya ketika Bayern mengalami penyingkiran ketiga berturut-turut di tangan kelab Sepanyol pada peringkat sama sepanjang tiga tahun di bawah kendalian Pep Guardiola.

“Mereka lebih bagus, tapi kami menjaringkan gol di tempat lawan, sesuatu yang penting. Kami tidak perlu terbawa-bawa dengan kemenangan ini dan mesti memikirkan mengenai La Liga sebelum final,” ujar Griezmann, pasukannya sama mata dengan pendahulu Barcelona dalam perlumbaan kejuaraan Sepanyol.

“Kami amat gembira. Ia perlawanan yang amat sukar, kami berdepan lawan hebat dan kami perlu bertahan serta cuba menjaringkan gol. Itulah yang kami lakukan,” jelasnya.

Kelab Bavaria itu lebih dominan pada babak pertama malah mencipta peluang pertama menerusi tandukan Lewandowski pada minit ke-12.

“Kami agak tergamam,” kata Neuer. “Kami bermain hebat hari ini, melakukan setiap perancangan dengan baik tapi agak memilukan kami tidak menempah tiket ke Milan bagi aksi final.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");