Membawang Hari Ini

Bangga dengan BoBoiBoy

Kejayaan filem animasi BoBoiBoy: The Movie yang berjaya mencatat kutipan RM19 juta di negara ini turut membuatkan anggota kumpulan D’MASIV berasa bangga.

D’MASIV dianggotai Rian selaku vokalis, Kiki (gitar), Rama (gitar), Rai (bass) dan Wahyu (dram) tumpang gembira atas kejayaan diraih filem itu memandangkan single mereka Di Bawah Langit Yang Sama menjadi salah satu lagu runut bunyi BoBoiBoy: The Movie.

Rian ditemui di Bali, Indonesia baru-baru ini berkata, kejayaan luar biasa BoBoiBoy: The Movie membantu mempopularkan nama dan karya D’MASIV di Malaysia.

“Melihatkan kejayaan besar dicatat filem BoBoiBoy: The Movie di Malaysia, D’MASIV sangat kagum dan berharap ia turut mendapat sambutan hangat di pawagam Indonesia pula.

“Filem animasi BoBoiBoy: The Movie mula ditayangkan di Indonesia bermula pertengahan April lalu dan saya yakin ia akan berjaya menarik penonton di sini untuk menyaksikannya di pawagam,” katanya.

Rian menambah, apa yang difahamkan siaran animasi BoBoiBoy di Indonesia memang amat diminati sepanjang ia ditayangkan stesen TV di sana.

Katanya, yang pasti anak kepada pemain dram D’MASIV, Wahyu adalah peminat setia animasi BoBoiBoy.

Menurutnya, berita kejayaan BoBoiBoy: The Movie membuatkan kumpulan yang popular dengan lagu Cinta Ini Membunuhku di sini itu berasa sangat teruja.

“Sebagai penggiat seni, D’MASIV mengharapkan lagu nyanyian kami mendapat tempat di hati peminat.

“Diharapkan karya dihasilkan menjadi tarikan peminat pelbagai peringkat umur dan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Mengulas perkembangan terbaru D’MASIV, Rian berkata album kelima menggunakan judul nama kumpulan itu sendiri akan berada di pasaran selepas Aidilfitri nanti.

Katanya, album memuatkan 10 lagu hasil karya sepenuhnya D’MASIV dianggap amat istimewa kerana diyakini mampu menambat hati peminat.

“D’MASIV memang selesa menghasilkan lagu sendiri kerana melodi dan lirik dicipta dekat dengan jiwa setiap anggota kumpulan ini. Apapun, kami bersikap terbuka andai ada pihak lain mahu menjalin kerjasama.

“Jika ada komposer lain mahu menyumbangkan lagu buat D’MASIV kami takkan menolak untuk mendengarnya terlebih dulu.

“Andai karya diberikan bersesuaian dengan genre muzik diperjuangkan D’MASIV, tiada masalah untuk lagu diciptakan oleh komposer itu kami nyanyikan,” katanya.

Rian berkata, D’MASIV lebih selesa menyanyikan lagu sendiri kerana kebanyakan karya dicipta berdasarkan pengalaman mereka dan turut sesuai dengan kehendak peminat.

Mengulas mengenai ilham mencipta lagu, katanya, anggota D’MASIV biasanya memperoleh idea tidak mengira waktu.

“Ada ketikanya, ketika kami berbincang, idea itu datang. Begitu juga, apabila bersama keluarga atau semasa menjamu selera.

“Apa yang kami titik beratkan adalah melodi dan lirik. Ia harus mampu memberi impak kepada pendengar,” katanya.

Ditanya sama ada, D’MASIV bersedia menyumbangkan lagu untuk penyanyi lain, Rian berkata tidak salah mereka berkongsi karya seni.

Menurut Rian, dia sudah menyumbangkan lagu ciptaannya kepada dua penyanyi Indonesia iaitu Afgan dan Rossa.

“Seingat saya, judul lagu Afgan yang dihasilkan ialah Ku Dengannya Kau Dengan Dia. Manakala, Rossa pula masih dalam perbincangan mencari judul sesuai.

“Kedua-dua lagu yang saya hasilkan untuk Afgan dan Rossa itu bertemakan percintaan. Saya harap lagu itu akan mendapat sambutan baik daripada peminat setia dua penyanyi popular itu,” katanya.

Selain aktif bersama D’MASIV dalam nyanyian, Rian memberitahu dia juga dilantik sebagai duta kempen Anti Kekerasan Terhadap Kanak-Kanak di Indonesia sejak 2014.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");