Membawang Hari Ini

Bunkface dedah rahsia

SETIAP mereka yang bergelar anak seni, pastinya tidak dapat lari daripada melalui fasa turun naik kerjaya dalam perjalanan mereka.

Cabaran itu ada kalanya mampu menjadi kekuatan buat mereka untuk terus bertahan dan tidak dinafikan juga akan menjadi yang sebaliknya.

Bunkface antara nama yang pernah mengharungi saat getir itu apabila kerjaya yang dibina sejak 2006 diuji.

Album ‘Bunk Not Dead’ yang dihasilkan pada 2013, tidak mendapat sambutan daripada peminatnya sekali gus menenggelamkan perjalanan seni mereka.

Namun itu bukanlah pengakhirannya, malah Bunkface bangkit memperkukuhkan status mereka sehingga ke hari ini.

“Alhamdulillah, Bunkface masih bertahan sehingga hari ini dan bagi kami ini adalah pencapaian yang paling tinggi buat kami.

“Kami percaya, setiap anak seni memiliki cerita mereka tersendiri. Melihatkan apa yang berlaku sepanjang 10 tahun ini, kami anggap ia sebagai perjalanan yang sihat.

“Kalau diikutkan, kami sendiri memang tidak pernah menyangka Bunkface sampai ke tahap ini dan pengalaman lalu sebenarnya lebih menguatkan kami untuk letakkan nama Bunkface ke peringkat yang lebih baik,” ujar Youk sebagai pemain bass.

Meniti perjalanan seni sebagai sebuah kumpulan sudah tentu bukanlah mudah apatah lagi setiap anggotanya pasti memiliki pendirian masing-masing.

Tidak menafikan perkara itu, Youk mendedahkan sejak awal penubuhan Bunkface, kejujuran menjadi aspek utama ditekankan kumpulan itu untuk bertahan sehingga kini.

“Walaupun hanya bertiga, sepanjang 10 tahun bersama kami sentiasa amalkan sikap toleransi antara satu sama lain.

“Sebenarnya, kami bertiga ada peranan yang perlu diberi perhatian yang mana Sam akan memberi fokus kepada muzik, Paan pula menjaga akaun dan saya sendiri menjaga produk-produk jenama Bunkface.

“Kami menubuhkan satu syarikat dan secara tidak langsung perjalanan seni ini menjadi satu perniagaan yang secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan kami.

“Tipulah kalau kami tidak pernah berselisih faham, tapi semua harus bersikap terbuka untuk selesaikan masalah yang timbul,” jelasnya yang turut mendedahkan Bunkface sedang merancang persembahan konsert untuk meraikan ulang tahun ke-10 mereka pada November ini.

Luaskan empayar

Tidak hanya melihat Bunkface sebagai perjalanan seni semata-mata, gitarisnya, Paan memberitahu mereka juga dalam perancangan untuk memperluaskan jenama mereka menjadi satu empayar yang besar.

“Selepas memiliki studio dan mengeluarkan ‘merchandise’, kami baru sahaja melancarkan koleksi wangian jenama kami sendiri iaitu Bunkface Revolution yang telah dijual di pasaran sejak Februari lalu.

“Semuanya bermula sejak tahun lalu, selepas kami ditawarkan oleh sebuah syarikat yang mengeluarkan produk wangian untuk mengeluarkan wangian kami sendiri.

“Memandangkan belum ada band lain yang melakukannya, jadi kami bersetuju.

“Setakat ini kami sudah memiliki 60 stokis di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei dan masih membuka peluang perniagaan ini kepada mereka yang berminat,” katanya.

Dalam perkembangan bidang muzik, Bunkface kini dalam proses merangka album terbaru mereka.

Tambah Sam selaku vokalis, mereka akan menampilkan album penuh bahasa Inggeris seperti mana penghasilan album yang dilancarkan pada awal perjalanan mereka.

“Semuanya akan bermula selepas kami selesai dengan konsert hujung tahun ini.

“Untuk album ini sekurang-kurangnya ada lima lagu bahasa Inggeris.

“Selepas 10 tahun, kami rasa ini adalah masa yang sesuai untuk kami lakukan pembaharuan,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");