Membawang Hari Ini

Disabotaj kerana pertahan pendirian

Di sebalik kekuatan namanya sebagai antara penyanyi lelaki terbaik, Hazami, 41, bagaimanapun mengakui tidak terlepas daripada menjadi mangsa sabotaj.

Hazami pernah tiba-tiba ‘digam’ sebuah stesen TV selama tujuh tahun dan dia masih tercari-cari apa kesilapannya.

Menurut Hazami, bukan dia saja yang terkena tetapi seorang rakan seangkatan turut mengalami nasib sama.

“Ia memang meninggalkan kesan sangat mendalam terhadap diri saya hingga tertekan. Bayangkan, setiap kali nama saya dicadangkan untuk sebarang projek seperti lagu runut bunyi dan persembahan program TV, saya terus dipangkah.

“Ada satu kes apabila bayaran 50 peratus sudah diberikan kepada saya, tiba-tiba nama digugurkan dan diminta menyimpan saja wang itu.

“Persoalan itu sedikit terjawab apabila ada seorang rakan terdekat mengadu mengalami nasib yang sama. Barulah saya sedar permainan begitu sememangnya wujud dan buat masa ini saya perlu reda kerana bidang ini masih kekal sebagai sumber periuk nasi saya,” katanya.

Teguh dengan apa yang diperjuangkan serta sentiasa bersuara terhadap benda terbaik buatnya ternyata menjadi punca kepada permasalahan berkenaan.

Bagaimanapun, Hazami tidak mahu terlalu memikirkan pengalaman hitam itu kerana yang penting dia tahu rezeki ada di mana-mana.

“Saya memang jenis manusia yang suka mempertahankan pendapat dan akan utamakan perkara terbaik saja untuk diri saya. Di situlah barangkali kesilapan sebenar saya apabila orang lain mentafsirnya dengan nada negatif.

“Serta-merta saya menerima akibatnya dan menjadi mangsa kerana kedegilan itu.

“Bagaimanapun, saya cuma mahu mempertahankan perkara yang betul dan tiada niat langsung mahu menunjukkan perangai divo,” katanya.

Pernah hilang identiti

Ditemui pada pelancaran single terbarunya berjudul Cintai Dia selepas bertahun menyepi, Hazami mengakui pernah ‘sesat’ beberapa tahun lalu.

Peminat tegarnya pasti kenal sangat dengan identiti nyanyian serta konsep lagu yang dipertaruhkan penyanyi Tekad itu.

Namun, dia mengakui hampir tersasar jauh dan mengubah hala tuju muzik paling sesuai dengan jiwanya.

“Ketika itu, saya bersungguh-sungguh mahu mengikut trend pasaran muzik sehinggakan terpaksa mengubah haluan cara berkarya saya. Bayangkan, ramai orang terdekat saya pun terkejut juga apabila mendengar muzik baru saya itu.

“Apabila saya sendiri mendengar semula lagu berkenaan, barulah saya sedar ia sangat tidak menggambarkan Hazami sendiri. Ada 18 lagu semuanya dan serta-merta saya buang lagu berkenaan daripada komputer saya,” katanya.

Menyedari peminat sudah lama menantikan semula kemunculannya dan paling utama karyanya, Hazami sudah ada perancangan tersendiri tahun ini.

“Saya merancang melancarkan album kelapan selepas Aidilfitri nanti apabila ada lapan lagu baru bakal dimuatkan. Begitu juga untuk persembahan, saya bercadang mengadakannya demi mengubat kerinduan peminat sebaik album baru itu dilancarkan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");