Berita Hari Ini

Drone bantu kerja pengawasan

TANJUNG MALIM – Penggunaan Unmanned Aerial Vehicle (UAV) atau drone dilihat mampu membantu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam kerja-kerja pemetaan, pemantauan dan pengawasan dengan lebih cepat dan efisien.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri berkata, ia dibuktikan dalam kes pencemaran udara dan air di sekitar Kuantan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) menggunakan drone untuk mengesan kawasan pembuangan sisa-sisa bauksit.

Katanya, menerusi penggunaan drone, kesemua maklumat penting diperoleh dan banyak membantu kementerian dalam membuat sebarang keputusan dalam menangani isu berkaitan bauksit.

Menurutnya, penggunaan drone juga akan dimanfaatkan dalam projek inisiatif pemulihan Cameron Highlands yang juga manifestasi kementerian dalam membendung gejala pembukaan tanah secara haram bagi membantu agensi keselamatan negara.

“Projek dikenali Program Cameron Highlands Dreams akan menggunakan drone untuk meninjau fizikal dan topografi bumi terutamanya di kawasan cerun yang sukar untuk diukur secara fizikal.

“Dari segi penguatkuasaan pula, drone turut digunakan untuk memantau penerokaan hutan secara haram dan menerusi projek ini, semua jabatan serta agensi di bawah kementerian dapat berganding bahu dalam memastikan peraturan serta undang-undang yang berkaitan dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Pameran Drone Kebangsaan (NaDES) di Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun), Behrang, di sini, semalam.

Hamim berkata, perolehan dan penggunaan drone yang meluas oleh agensi pelbagai kementerian memerlukan satu penyelarasan dilakukan terutamanya melibatkan aktiviti citraan.

Katanya, aktiviti citraan melalui penggambaran udara perlu mendapatkan kelulusan Pengarah Pemetaan Negara dan satu salinan penggambaran udara perlu diserahkan kepada pihak agensi itu.

“Menerusi kuasa yang diberikan, Jupem diharap dapat mewujudkan dan menyelenggarakan satu pangkalan data citraan yang lengkap bagi mengelakkan berlakunya duplikasi penggambaran udara oleh pelbagai agensi seterusnya boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");