Jenayah

Dua beradik, wanita nafi cuba bunuh komando

Melaka: Dua beradik dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer keroh, di sini, semalam, atas tuduhan bersubahat dan melakukan cubaan membunuh seorang anggota komando, April lalu.

Bagaimanapun, Mohd Sazali Abdul Razak, 33, dan adiknya, Mohd Shahabudin Abdul Razak, 27, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, dua beradik itu didakwa memukul Mohd Daud Karim, 26, dengan niat menyebabkan kematian di sebuah rumah di Jalan Wira Utama, Taman Peruna, Sungai Udang, jam 12.50 tengah malam, 17 April lalu.

Dalam pertuduhan berasingan, isteri kepada Sazali iaitu Nuraini Abd Wazir, 28, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya Iffa Sirrhu Samsudin mencadangkan mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh atas faktor kesukaran polis melakukan siasatan pada peringkat awal.

“Tertuduh tidak memberi kerjasama dan bersembunyi ketika siasatan dijalankan. Kes ini juga menjadi tumpuan umum dan mangsa seorang komando, jadi tiada jaminan dibenarkan kerana ada kemungkinan besar tertuduh tidak hadir ke mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam Mohd Fahmy Mohd Sulaiman merayu dibenarkan ikat jamin atas alasan mereka bukan melarikan diri sebaliknya tidak sedar sedang diburu polis.

Norma kemudian menawarkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin kepada Nuraini dan menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");