Jenayah

Empat individu dipercayai terlibat samun mati ditembak

KAJANG: Polis menembak mati empat daripada lima individu yang dipercayai terlibat dalam kes samun di Sungai Sekamat berhampiran Plaza Tol Sungai Long, Kajang dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, kesemua mereka yang ditembak mati pada pukul 6.15 pagi tadi, sebelum itu dikatakan cuba memecah masuk sebuah banglo di Taman Saujana Impian, Kajang pada 3.15 pagi.

“Suspek terdiri daripada lima individu cuba memecah masuk sebuah banglo milik seorang jurutera, namun tindakan mereka gagal selepas alat penggera rumah berkenaan berbunyi.

Pemilik rumah itu yang mendengar penggera rumahnya berbunyi kemudian bertindak menghubungi polis dan sepasukan anggota D9 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digerakkan ke lokasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, pasukan polis kemudian berjaya mengesan semua suspek, berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an terbabit yang berada di sekitar Sungai Sekamat.

Katanya, selepas dikesan semua suspek berkenaan telah bertindak menyerang anggota polis terbabit menggunakan parang yang memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka sebagai langkah mempertahankan diri.

Katanya, tembakan itu menyebabkan empat daripada suspek terbunuh di tempat kejadian manakala seorang lagi berjaya melepaskan diri dan dipercayai mengalami kecederaan akibat tembakan.

Menurutnya, polis kini sedang giat memburu suspek berkenaan dengan dibantu unit anjing pengesan K9.

Beliau turut meminta orang ramai dan klinik serta hospital supaya menghubungi pihak polis sekiranya ada individu yang cedera akibat tembakan mahu mendapatkan rawatan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");