Jenayah

Empat kali disimbah cat merah

JOHOR BAHRU – Seorang pengurus syarikat penerbitan hidup dalam ketakutan selepas empat kali kereta miliknya, jenis Kia Forte dibaling cat merah sejak awal bulan ini.

Lua Song Ying, 36, berkata, kali kelima laporan polis dibuat kelmarin, selepas gambarnya dicetak dan diedarkan sebagai pelacur yang memintanya memulangkan duit segera.

Menurutnya, dia buntu memikirkan tujuan ugutan yang dibuat sedemikian kerana tidak berhutang dengan ceti haram atau sesiapa sahaja.

“Saya tak tahu tujuan apa sebenarnya ugutan menakutkan dan mencemarkan maruah saya sebegini, kerana saya berani jamin tak pernah berhutang dengan sesiapa pun.

“Saya ada syarikat sendiri yang stabil dan tak mempunyai sebarang masalah membuatkan saya bingung memikirkan tujuan ugutan sebegini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Song Ying berkata, kejadian pertama keretanya dibaling cat merah pada 2 Mei lalu di ruang parkir Apartmen Zennith Suite Jalan Kebun Teh, manakala tiga lagi kejadian di halaman rumah ibunya di Taman Sentosa.

Menurutnya, dia mengesyaki tindakan sedemikian dilakukan oleh jiran yang tidak berpuas hati dengan tugasnya sebagai Bendahari Persatuan Komuniti pangsapuri berkenaan, kerana mengutip duit penyelenggaraan bulanan.

“Saya ada bertengkar dalam kumpulan WhatsApp apartmen berkenaan selepas meminta hutang wang penyelenggaraan dilangsaikan segera, kerana tidak adil kepada penghuni lain yang membuat bayaran tanpa tunggakan.

“Saya tak ada bukti, tapi kalau betul tanggapan saya… hentikanlah tindakan sebegini kerana perkara ini boleh dibawa berbincang bukan melalui ugutan sebegini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya ada menerima laporan dibuat mangsa dan masih melakukan siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");