Sukan Hari Ini

Fifie tekad pecah dominasi lelaki

KEBIASAANYA sukan lasak seperti permotoran dimonopoli kaum lelaki, bukan wanita. Namun bagi Siti Norafizah Muhamad yang beraksi dalam saingan kelas terbuka – CP115 Kejuaraan Cub Prix Kebangsaan 2016, semua itu bukanlah penghalang untuk membuktikan kemampuan dimilikinya.

Diulit pelbagai kejayaan dan kata-kata perangsang selaku pelumba wanita, malah sepanjang bergelumang dalam dunia permotoran ini tidak kurang juga yang memberi persepsi negatif terhadap kariernya.

Kata-kata pedas berbaur kutukan sering kedengaran di telinganya. Malah tidak kurang juga yang mengejek dengan pelbagai gelaran seperti tomboy, pinkid dan sebagainya.

Cabaran perli ditempuhi

Begitu pun bagi Siti Norafizah atau lebih dikenali Fifie dalam kalangan kenalan dan rakan permotoran, kritikan sebegitu tidak melemahkan dirinya malah menguatkan keazaman dan sikap positifnya untuk bersaing dan memberi cabaran kepada pelumba lelaki yang lain.

“Ia sebenarnya bukanlah masalah baru bagi saya, ketika usia 9 tahun saya telah mula berjinak dengan permotoran, mungkin ketika itu ia tidak menjadi masalah kerana usia yang agak mentah, sekali gus tidak terkesan di hati.

“Namun sebaik melangkah ke alam sekolah menengah, jiwa dan perasaan saya juga turut beremosi. Setelah sekian lama, akhirnya segala tohmahan itu dapat diterima dan pihak yang sering berpandangan negatif mula menerima karier saya sebagai pelumba profesional,” ujar Fifie yang turut berdepan situasi yang sama dalam kalangan saudara mara pada awal kariernya.

DITEMANI IBU

Fifie merupakan pelumba wanita senior dalam kalangan empat pelumba wanita yang mewarnai cabaran Kejuaraan Cub Prix Kebangsaan 2016 musim ini, turut mengakui keterbukaan masyarakat terhadap kemampuan pelumba wanita masih belum sepenuhnya.

Selain Fifie, tiga lagi pelumba wanita yang mewarnai perlumbaan musim ini ialah Siti Fatimah Husna Muslim, Nasha Edziera Bahauddin dan Nuraina Halisya Hamiruddin yang turut mencabar keegoan pelumba lelaki dalam sukan permotoran yang cukup ekstrem ini.

Bagi memastikan langkah keselamatan, ibunya (Norwaini Zuginin) sering menemani pada setiap pusingan yang diharunginya. Sejak mula berkecimpung dalam dunia perlumbaan motosikal ketika usia 16 tahun, ibunya ibarat kawan dan pengawal peribadinya.

Gandakan latihan

Bagaimanapun sejak bernaung bersama pasukan elit BHPetrol Dash Tabuan Racing Team, Fifie terpaksa akur kehendak pasukan apabila harus berada di Kuala Lumpur, sekali gus berjauhan dengan ibunya.

Anak kelahiran Kampung Ayer Manis, Kulai Johor ini turut menceritakan detik awal pembabitannya, apabila hanya menaiki bas ke destinasi perlumbaan dengan ibunya sambil latihan dan keserasian bersama jentera hanya dilakukan di negeri kelahirannya Johor.

“Tetapi di sini (Kuala Lumpur) saya terpaksa berjauhan dengan ibu. Hanya apabila saya turun beraksi di mana-mana perlumbaan sebenar, barulah ibunya datang menjenguk dan menemani saya.

“Bersama pasukan berstatus elit, masa saya juga agak terbatas. Segalanya sudah diatur oleh pasukan. Tiada masa bagi saya dan pelumba lain untuk bermain-main. Malah kami terpaksa ganda latihan selepas persembahan yang cukup hambar pada tiga pusingan sebelum ini,” ujar Fifie yang kini menginap bersama pengurus pasukan, Wizani Ismail.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");