Membawang Hari Ini

Hairul, Hanis seronok berniaga

PASANGAN selebriti popular ini dilihat semakin kurang aktif dalam aktiviti seni sejak mendirikan rumah tangga Jun tahun lalu.

Mengukuhkan lagi fakta, kelibat Hairul Azreen mahupun Hanis Zalikha juga agak jarang kelihatan di kaca televisyen, sejak akhir-akhir ini.

Bukan bermakna tiada tawaran, namun pasti ada sebab tersendiri mengapa pasangan sejoli ini memilih langkah tersebut.

Bagi Hairul Azreen, keseronokan menguruskan perniagaan membataskan kerjayanya dalam bidang seni.

“Sebenarnya, saya pun sudah jarang berlakon. Kali terakhir saya berlakon pertengahan tahun lalu.

“Sekarang, saya baru sahaja kembali berlakon dalam drama bersiri Dia Semanis Honey arahan Michael Ang untuk Astro Ria.

“Bukan saya tidak suka berlakon tetapi mungkin kerana saya seronok dan ralit menguruskan bisnes,” katanya kepada Zass.

Biarpun masih muda, pelakon berusia 28 tahun ini sedang menguruskan empat jenis perniagaannya iaitu stesen permainan Captain VR, studio penggambaran Hello Studio, jualan kemeja T – Malead dan tudung milik isterinya, Cakenis.

“Bisnes saya masih lagi baru, jadi saya perlu fokus dengan memberi komitmen sepenuhnya demi mengukuhkannya lagi.

“Saya perlu bekerja keras kerana saya sudah berkeluarga. Jadi, apabila ia sudah bermula, saya tidak boleh berhenti.

“Saya seorang yang akan berusaha dengan apa yang saya mahu. Alhamdulillah, apa yang diinginkan itu dapat,” katanya.

Sama dengan suaminya, Hanis Zalikha turut mengambil keputusan untuk memperlahankan jadual seninya sejak berkahwin.

Alasan utama pelakon filem Gangster Celop ini adalah kerana mahu fokus terhadap rumah tangga yang baru dibina selain mengembangkan perniagaan.

“Saya lebih selektif dalam aktiviti seni kerana mahu memberi perhatian dan komitmen kepada rumah tangga dan perniagaan,” katanya.

Lebih manis, pengacara dan pelakon berusia 25 tahun ini diumumkan hamil dan kini usia kandungannya sudah pun mencecah lapan bulan.

“Alhamdulillah, kandungan saya sihat dan kami tidak sabar untuk menanti kelahiran bayi pertama yang dijangka sama dengan tarikh perkahwinan kami iaitu pada 5 Jun nanti.

“Kandungan saya juga sudah melepasi usia tujuh bulan, namun saya masih lagi mengalami alahan teruk. Ia agak mencabar sebenarnya,” katanya yang masih berahsia mengenai jantina anaknya itu.

Pun begitu, meskipun sedang sarat mengandung, pelakon drama Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa ini masih lagi aktif melunaskan pelbagai rancangan perniagaannya.

“Memang saya tidak boleh duduk diam, biarpun perut semakin membesar.

“Harapnya anak yang bakal lahir ini akan menerima tempias semangat saya yang tidak pernah berhenti bekerja.

“Saya masih keluar rumah menghadiri mesyuarat dan menguruskan hal berkaitan perniagaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan selepas melahirkan anak, Hanis Zalikha mengambil keputusan untuk berehat daripada bidang lakonan.

Ini kerana, baginya keutamaan harus diberikan kepada anak dan suaminya.

“Tidak dinafikan, sekarang rezeki saya dan suami lebih berpihak kepada perniagaan.

“Saya belum pasti apakah masih akan meneruskan kerjaya seni, terutamanya lakonan. Apabila mempunyai anak nanti, mungkin saya akan tangguhkan dulu minat terhadap lakonan kerana ia banyak menuntut masa di luar.

“Tetapi, saya akan mempertimbangkan tawaran pengacaraan kerana komitmennya lebih fleksibel dan tidak memerlukan masa yang panjang,” katanya.

Koleksi pakaian raya

Sementara itu, pasangan sama cantik sama padan ini baru sahaja melancarkan koleksi pakaian raya menerusi jenama, His & Her.

Hairul Azreen memberitahu, idea untuk mengeluarkan koleksi tersebut muncul selepas melihat sambutan peminat terhadap tudung Cakenis sangat memberangsangkan.

Bertitik tolak dari situ, Hairul dan Hanis berkongsi idea menghasilkan 60 rekaan pakaian lelaki dan perempuan secara sedondon.

Menurut Hanis Zalikha, himpunan Her mengetengahkan rekaan baju kurung dan kebaya, manakala His menampilkan jubah serta baju Melayu.

“Menariknya, koleksi ini juga menampilkan rekaan mesra buat ibu menyusu anak selain didatangkan dalam pelbagai saiz,” katanya.

Katanya, harga pakaian wanita bermula daripada RM250 hingga RM330, manakala pakaian lelaki pula daripada RM200 hingga RM250 dan boleh didapati secara dalam talian atau menerusi stokis di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.

Untuk keterangan lanjut, boleh layari laman Instagram His & Her di www.instagram.com/hh.hairulhanis.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");