Sukan Hari Ini

Hanya yang terbaik kekal

DI sebalik ketenangan yang ditunjukkan, mungkin banyak perkara bermain di fikiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Bojan Hodak apabila jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia 2016 dibuka pada Jun nanti.

Pada sidang media memperkenalkan beliau sebagai CEO dan Nenad Bacina sebagai Pengurus merangkap Pemangku Ketua Jurulatih pasukan pada Rabu lalu, beliau menekankan hanya pemain terbaik sahaja yang akan dikekalkan.

Mereka berdua diberi kebebasan sepenuhnya oleh pengurusan tertinggi untuk merombak dan mengubah taktikal bagi memastikan pasukan melonjak ke tangga selesa sekali gus kekal di saingan Liga Super musim ini.

Namun menariknya, Bojan yang pernah melatih UPB-MyTeam, Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) lebih memikirkan tentang pemain tempatan berbanding pemain import.

Baginya, jumlah pemain tempatan yang berkualiti di negara ini masih belum banyak dan ia menjadi satu cabaran besar buatnya untuk meneliti pemain baharu yang akan dibawa masuk pada bulan hadapan.

“Kita masih belum membuat keputusan untuk mengugurkan mana-mana pemain, baik tempatan ataupun import, namun perkara yang baik boleh disimpan tetapi yang tidak baik perlu ditukar.

“Punca mengapa pasukan ini berada di tangga tercorot juga mesti dicari sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan hakikat bahawa kebanyakan pemain Harimau Kumbang yang beraksi kini adalah pemain dari Liga Perdana yang pastinya mempunyai jurang yang agak ketara dengan persediaan dan pengalaman pasukan-pasukan besar di peringkat Liga Super.

Selain itu, analisis awal Bojan juga menjelaskan, sebahagian besar pemain-pemain muda pasukan baharunya itu langsung tidak mempunyai pengalaman di peringkat saingan Liga Super dan ini menjadi sebab mengapa mereka gagal bersaing dengan pasukan-pasukan besar.

Perkara itu dikuatkan lagi dengan kenyataan Naib Presiden FAP, Datuk Gary Nair bahawa kebanyakan pemain yang berhijrah ke Pulau Pinang pada musim ini juga bukan merupakan pemain yang kerap membarisi kesebelasan utama pasukan lama mereka.

Sebahagian faktor inilah menyebabkan Pulau Pinang gagal meraih keputusan membanggakan pada pusingan pertama Liga Super apabila hanya mencatatkan satu kemenangan, tiga seri dan tujuh kalah, mengumpul tujuh mata selepas 11 perlawanan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");