Jenayah

Harap jasad ditemui

Kemaman: “Saya reda kalau anak saya meninggal, bagaimanapun saya tetap berharap jasadnya ditemui,” kata Azaharuddin Rani, 46, selepas anak lelakinya dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Geliga, petang semalam.

Anaknya, Mohd Arif Azaharuddin, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, di sini, hilang dipercayai lemas selepas dipukul ombak jam 5 petang.

Mangsa bersama dua rakannya dihanyutkan ombak dan terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus.

Bagaimanapun, rakan anaknya yang lemas, Amir Syafiq Azahari, 14, belajar di sekolah yang sama dijumpai penduduk meninggal dunia jam 5.50 petang.

Seorang lagi rakannya yang tidak diketahui identitinya diselamatkan penduduk yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Azaharuddin yang juga penyelia asrama SMK Kijal berkata, dia terkejut dimaklumkan anaknya lemas di pantai.

“Saya sangat tegas dengan anak dan sering menasihati tidak mandi pantai walaupun rumah kami hanya 100 meter dari pantai.

“Saya sangat sedih kerana kejadian seperti ini menimpanya kerana dia sebelum ini tidak pernah mandi di pantai itu,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya dia menghantar anak sulung daripada lima beradik itu ke sekolah, tetapi hari ini (semalam) anaknya itu pergi ke sekolah dengan rakannya.

“Hari ini (semalam) dia minta saya tidak menghantarnya ke sekolah kerana ingin pergi bersama-sama rakannya,” katanya.

Azaharuddin berkata, dia mengadakan solat hajat di masjid dan berharap jasad anaknya ditemui.

Sementara itu, Pegawai Zon 11 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Azmi Mohd ketika ditemui mengesahkan kejadian terbabit.

Menurutnya, mayat mangsa yang ditemui diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kami yang mengadakan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima maklumat mengenai kejadian menghentikan operasi jam 8 malam tadi.

“Bagaimanapun anggota kami terus membuat tinjauan di pesisir pantai bagi mengesan mangsa yang masih hilang itu,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");