Panasnya Hari Ini

Hentikan Sebarang Spekulasi – Wan Azizah

KUALA LUMPUR : Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa agar sebarang spekulasi berkenaan tuduhan terhadap Pejabat Menteri Besar Selangor dihentikan kerana parti itu sudah mengambil tindakan yang sewajarnya.

Jelas Wan Azizah, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli telah membuat penjelasan umum bahawa tuduhan yang diberi kepada beliau tidak melibatkan mana-mana wakil rakyat mahupun kakitangan kerajaan negeri Selangor.

“Pada Selasa lepas, mesyuarat Biro Politik Keadilan telah membuat ketetapan bahawa Rafizi perlu mengemukakan bukti-bukti kepada pihak Suruhanjaya Pencegarah Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perkara yang dibangkit di dalam satu mesej Whatsapp minggu lalu. Rafizi telah menyatakan bahawa beliau akan berbuat demikian pada Isnin ini.

“Selepas pendedahannya yang awal, Rafizi telah membuat penjelasan umum bahawa tuduhan yang diberi kepada beliau tidak melibatkan mana-mana wakil rakyat mahupun kakitangan kerajaan Negeri Selangor,”katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, menerusi aplikasi Whatsapp yang dihantar kepada kumpulan ‘Solidariti Untuk Anwar’, Rafizi menyentuh mengenai permintaan untuk wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.

Rafizi berkata, beliau mengakui mesej itu daripadanya tetapi menafikan ia membabitkan mana-mana wakil rakyat atau pegawai kerajaan negeri dan berkata ia secara ‘spesifik’ dan bukan ‘umum’.

Sementara itu, Azmin menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap sebarang amalan rasuah.

Dalam masa yang sama, Wan Azizah berkata beliau dan pimpinan PKR meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang diketuai oleh Datuk Seri Azmin Ali selaku Menteri Besar.

“Saya yakin sekiranya terdapat bukti yang kukuh berkenaan apa jua salahlaku oleh sesiapa pun di dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar (Azmin) akan mengambil tindakan yang sewajarnya,”tegas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");