Membawang Hari Ini

Herman Tino: Saya jual suara, bukan rupa

PASTI ramai yang tahu lagu Serampang Laut duet antara Allahyaryam Datuk Sharifah Aini bersama Herman Tino. Lagu itu menjadi siulan dan mendapat kejayaan sejak pertama kali diperdengarkan pada tahun 1986.

Itu jugalah lagu pertama yang dirakam Herman Tino ketika mula-mula bergelar penyanyi.

“Siapa sangka? Saya sendiri tidak menyangka lagu yang popular itu… sayalah penyanyinya.

“Proses rakaman pun hanya sekali sahaja. Ia dibuat di Studio EMI Records, Kuala Lumpur. Saya bekerja bersama pengarah muzik S Atan ketika itu,” kata Herman membuka bicara.

Nama Herman Tino sudah tidak asing dalam dunia hiburan tempatan. Dengan imej kain pelekat pada muka hadapan album, Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, sudah lebih 30 tahun menjadi penyanyi.

Nama Herman Tino dipilih atas gabungan nama-nama mereka yang berada di sekelilingnya.

“H itu adalah ibu saya Hasiah, ER pula adalah pakcik saya, Man pula adalah nama guru nyanyian saya AJ Ajmain, T adalah nama ayah saya Tamsi dan No diambil bersempena nama anak saya Yusnor. Jadilah Herman Tino,” katanya.

Mengimbau saat-saat mula menceburkan diri, anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor ini berkata, perjalanan seninya bukanlah mudah.

“Demi cita-cita dan minat… saya tinggalkan alam persekolahan. Saya tak habis belajar, saya sengaja menggagalkan diri dalam bidang pelajaran dan tamat tingkatan 3 sahaja. Kerja pun separuh jalan.

“Saya banyak dipengaruhi muzik-muzik Pop Yeh Yeh. Saya banyak habiskan masa mencari peluang di Kuala Lumpur untuk menjadi penyanyi.

“Saya selalu tunjuk muka di RTM untuk program radio. Kenapa radio? Sebab saya tahu, saya tiada rupa. Saya nak jual bakat sahaja.

“Orang kata ‘mengendeng’ dengan produser program, mana tahu ada nasib. Tapi tak ada pun. Empat tahun saya mencuba. Hari-hari datang. Kalau dapat, saya boleh dapat bayaran RM40 untuk satu program. Tapi, tak dapat pun. Sebabnya, ketika itu memang dah ada artis radio. Lagu rakaman suara saya pun tak ada yang sudi nak dengar,” katanya yang menuntut ilmu dengan guru nyanyiannya AJ Ajmain ketika di RTM.

Berminggu, berbulan, tetap tidak ada hasil untuknya. Tidak pernah ada rasa putus asa, Herman Tino percaya bakat dapat mengatasi segala-galanya.

“Saya gagal dalam perkahwinan hanya kerana minat menyanyi. Saya ada nyanyi di kenduri kahwin. Arwah ayah saya antara yang paling kuat menentang. Arwah ibu pun tak suka… tapi dia hanya diam sahaja.

“Saya berkahwin muda. Perkahwinan pertama saya gagal kerana kurang persefahaman. Saya redha,” katanya.

Katanya, selepas itu, dia dipanggil untuk ujian suara oleh Allahyarham Jamal Abdullah.

“Malangnya saya tidak dapat kerana bos di sana tidak suka pada suara saya. Saya pulang dan membuat pekerjaan kampung mengupas kelapa.

Segalanya tidak sengaja

Gerak mula Herman Tino dalam bidang nyanyian bermula secara tidak sengaja, apabila diperkenalkan dengan Allahyarham Nassier P Ramlee.

“Ketika itu, pada tahun 1982. Saya mengenali Allahyarham Nassier P Ramlee secara tidak sengaja ketika itu beliau sedang duduk minum bersama Jamal Abdullah. Macam saya katakan tadi, rakaman lagu yang saya beri pada RTM sebelum ini, tidak ada yang dengar kan? Tapi, sebenarnya ada insan yang mendengar dan cuba untuk memberi ruang kepada saya, tetapi kerana RTM ketika itu sudah ada artis sendiri, mereka tidak dapat ambil saya.

“Dia kenalkan saya dengan Nassier. Kami bertemu di Chow Kit. Dia ajak saya bertemu dengan S Atan.

“Girang hati tidak terkata. S Atan bukan calang-calang nama. Beliau sudah banyak menaikkan banyak nama besar ketika itu.

“Nassier ajak saya bermalam di rumahnya. Kami sama-sama tidak ada duit. Masa tu saya hanya ada RM7 sahaja. Itulah duit yang tinggal. Malam itu kami berlapar sama-sama. Duit tu nak buat tambang esok pagi,” katanya.

Keesokan harinya, mereka menaiki teksi menuju ke syarikat rakaman EMI Records.

“Saya nampak S Atan dan dia suruh saya dengar lagu yang dibuatnya. Memang sedap lagu itu dan kena sangat dengan jiwa saya.

“Disuruhnya saya ke bilik rakaman suara. Bila dia kata, ini lagu duet, saya terkejut. Lagi terkejut bila tahu pasangan saya Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya ingin tarik diri, tetapi beliau menghalang. Dengan rasa gerun, saya rakamkan lagu itu. Sekali sahaja rakaman dibuat. Dalam pada seronok tu, rasa takut masih bersarang. Sharifah Aini, memang nama besar dan sangat popular,” katanya.

Saya diminta datang lagi keesokan harinya untuk merakamkan lagu lain. Saya dan Nassier pulang. Saya ambil keputusan pulang ke Tanjung Karang.

“Saya tidak beritahu pada keluarga pun mengenai rakaman suara itu. Seperti dijanji, saya tiba di hadapan EMI Records. Saya tidak dibenarkan masuk. Menurut ‘ pak guard’ di situ, jika ada kereta sambil menunjukkan sebuah kereta mewah kepada saya, tidak dibenarkan sesiapa yang boleh masuk hinggalah kereta itu beredar.

“Rupa-rupanya, itu kereta Sharifah (Aini). Puas saya tunggu di luar. Akhirnya saya dibenarkan masuk dan merakamkan lagu seterusnya.

“Selepas beberapa ketika, lagu-lagu nyanyian saya mendapat sambutan. ALLAH SWT itu maha adil. Berkat sabar dan kesungguhan, cita-cita saya tertunai juga,” katanya.

Mengimbau kisah lama, Herman Tino mengakui perjalanan karier seninya benar-benar tidak segah bintang lain.

“Sejak merakamkan album Melayu Deli pada akhir tahun 1982. Beberapa bulan kemudian, saya merakamkan album pertama. Namun, saya tidak menerima apa-apa persembahan pun. “Rupa-rupanya pihak syarikat rakaman tidak dapat mencari saya kerana berada di kampung. Hinggalah ada kereta polis tiba depan rumah memberikan telegram mengenai syarikat rakaman mahu saya berada di pejabat dengan kadar segera.

“Esoknya saya berangkat ke Kuala Lumpur. Bertemu dengan tauke EMI Records, saya diberikan cek, ingatkan jumlah RM1,800, tapi sebenarnya RM18,000. Terkejut saya dan terus ke bank.

“Allahuakbar… itu adalah duit royalti album terjual dengan jayanya. Saya pun pergilah tunaikan cek berkenaan dan bawa balik dalam beg berisi duit.

“Waktu itu bulan Ramadan. Hanya seminggu lagi nak sambut raya. Rumah saya biasa-biasa sahaja. Tidak ada langsir baru, kuih raya atau apa-apa persiapan. Kami tidak punya duit yang banyak. Duit yang ada saya buat jambatan depan rumah, beli lampu baru, beli motosikal adik, tebus semula barang kemas ibu saya. Habis duit itu hanya untuk keluarga. Akhirnya arwah ayah meninggal dunia. Tapi saya tahu, dia restui kerjaya saya ini,” katanya.

Bermula episod baharu

Katanya, duit berkenaan diberikan kepada ibu dan ayahnya untuk persiapan Aidilfitri.

“Arwah ayah tidak mahu menerima, kerana mereka menyangka duit itu saya peroleh dari sumber tidak halal.

“Saya peluk arwah ibu saya dan beritahu itu saya dapat menerusi nyanyian. Perlahan-lahan ibu cuba menghadam apa yang saya katakan. Selepas beberapa ketika, keluarga dapat menerima dan kami mulakan hidup baharu,” katanya.

Bermula dari situlah, Herman Tino diterima menjadi penyanyi rakaman. Duit royalti lagu terus saya dapat. Sehingga kini, beliau sudah mempunyai lapan album yang mana kulit depan albumnya menggunakan kain pelekat hadiah arwah ibunya.

“Kain pelekat terakhir saya gunakan untuk album terbaharu. Ini adalah album terakhir saya. Kerana arwah ibu hanya beri sembilan sahaja. Itu pun dah kira banyak album saya.

“Album ini akan dilancarkan tidak lama lagi. Saya berharap ia akan diterima semua lapisan pendengar, lebih-lebih lagi yang gemar kepada muzik Melayu Asli dan tradisional,” katanya.

Antara lagu-lagu popular nyanyiannya adalah seperti Kupendam Biarpun Parah, Akibat Putus Cinta, Pelita Dalam Kabus, Cinta Tertahan-tahan, Ojo Kesandung, Kamar Sepi dan Mengapa Dikenang Mengapa Difikir.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");